Eonmetall terima pampasan RM30.4 juta daripada Pejabat Tanah Klang | DagangNews Skip to main content

Eonmetall terima pampasan RM30.4 juta daripada Pejabat Tanah Klang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Jan - Anak syarikat milik penuh Eonmetall Group Berhad, Eonmetall Land Sdn Bhd (ELSB) telah menerima notis pemberian dan tawaran pampasan (Borang H) daripada Pejabat Tanah Klang yang melaksanakan pengambilalihan wajib di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) bagi memperoleh tanah seluas kira-kira 8,996 meter persegi di Kapar, Klang bernilai RM30.4 juta.

 

Menurut makluman Eonmetall kepada Bursa Malaysia hari ini, pelupusan wajib itu adalah hasil daripada penerimaan Borang H untuk mengambil milik tanah terbabit di bawah Seksyen 18 Akta 486.

 

Syarikat itu berkata pampasan tersebut akan digunakan untuk pengembangan perniagaan masa hadapan, modal kerja dan pembayaran balik hutang.

 

Katanya, jumlah pampasan tersebut termasuk ganti rugi pemberhentian dan kehilangan pendapatan.

 

“Keputusan untuk amaun balasan tersebut telah dibuat oleh Pentadbir Tanah, Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan semasa perbicaraan tanah yang diadakan pada 28 November 2023 berdasarkan fakta yang dikemukakan oleh wakil ELSB dan wakil-wakil daripada pihak lain yang berkaitan.

 

“Jumlah akhir yang diberikan tertakluk kepada penerimaan Borang H tanpa sebarang bantahan oleh kedua-dua ELSB pada 11 Januari 2024 dan pihak lain yang berkaitan,” katanya.  - DagangNews.com