KUALA LUMPUR 13 Jun - Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) melancarkan operasi dua kren gantri baharu dan tali sawat penyampai di Dermaga Timur, Pelabuhan Kemaman.
Dua kren baharu yang mula beroperasi pada 5 Mei 2024 itu dijangka meningkatkan kapasiti pelabuhan daripada 4 juta tan metrik setahun kepada 7 juta tan setahun sekali gus memberikan impak transformatif terhadap aktiviti pelabuhan dengan pengendalian kargo tiga kali lebih tinggi daripada penggunaan kren kapal.
Hasilnya, tempoh kapal berlabuh dapat dikurangkan sebanyak tiga kali ganda, sekali gus meningkatkan kapasiti pelabuhan, memendekkan turnaround time dan meningkatkan produktiviti keseluruhan.
Tali sawat sepanjang 8.2 kilometer yang siap dipasang April lalu pula kini menghubungkan Pelabuhan Kemaman dengan kilang Eastern Steel Sdn Bhd (ESSB).
Penyediaan insfrastruktur ini mengoptimumkan operasi pengangkutan kargo secara lebih lancar dari pelabuhan ke fasiliti kilang.
Majlis pelancaran operasi kemudahan baharu itu telah diadakan semalam yang disempurnakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd, Burhanuddin Hilmi Mohamed serta Pengarah EPIC Berhad dan Pengerusi Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB), Datuk Ahmad Amzad Mohamed.
Majlis tersebut turut dihadiri Datuk Tee Choon Hock, Pengarah ESSB dan Datuk Ong Chong Sek, Pengarah Eastern Steel Material Handling Sdn Bhd (ESMH).
Berucap pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ts. Muhtar Suhaili berkata, pencapaian tersebut adalah satu komponen kritikal dalam strategi pertumbuhan yang lebih meluas.
“Pencapaian ini adalah bukti dedikasi yang dikongsi bersama dan ia pasti akan menjadi penyumbang kepada peningkatan prestasi kewangan Kumpulan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Kumpulan EPIC berhasrat untuk memaksimumkan kapasiti pengendalian dermaga sedia ada sebelum meneruskan pengembangan selanjutnya. Inisiatif ini sejajar dengan Laluan Rel Pantai Timur ("ECRL") yang bakal meningkatkan ketersambungan dan kapasiti pelabuhan untuk menampung pertambahan jumlah kargo.- DagangNews.com