ESG buka peluang buat TNB raih manfaat tenaga diperbaharui | DagangNews Skip to main content

ESG buka peluang buat TNB raih manfaat tenaga diperbaharui

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Julai - Risiko alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dilihat sebagai peluang bagi Tenaga Nasional Bhd. (TNB) berdasarkan pertumbuhan pesat dalam tenaga diperbaharui (RE), menurut CGS-CIMB.

 

Syarikat utiliti itu menyasarkan kapasiti RE mencapai 8,300 megawatt (MW) menjelang 2025 yang mana setakat Disember lalu mencecah 3,398 MW. 

 

Penganalisis CGS-CIMB, Ngo Siew Teng berkata, TNB dijangka meraih peluang pertumbuhan RE apabila ia meningkatkan kapasiti RE di peringkat domestik dan luar negara sebagai penjana tenaga.

 

Katanya, ia juga akan mendapat keuntungan daripada kemungkinan penawaran kilang termal pada masa depan ekoran permintaan elektrik yang semakin meningkat daripada digitalisasi.

 

"Kami juga menjangkakan TNB akan meraih manfaat daripada pelaburan kukuh dalam memenuhi peralihan tenaga, sekali gus mengembangkan asas asetnya yang terkawal," katanya dalam nota kajian. 

 

Berdasarkan sesi taklimat dengan pengurusan TNB baru-baru ini, firma itu mendapati tumpuan utama pelabur terhadap ESG kumpulan termasuklah pelepasan karbon, kemampuan akses tenaga elektrik dan penekanan kerajaan terhadap kelestarian alam sekitar. 

 

TNB ketika ini sedang berusaha ke arah kemampanan yang mana butiran terperinci akan diumumkan pada separuh kedua tahun ini.

 

Ini antaranya termasuklah komitmen jangka panjang dan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi memantau prestasi kelestarian kumpulan. 

 

Syarikat utiliti tersebut juga berusaha menangani isu berkaitan ESG bagi memastikan pendapatannya menerusi loji janakuasa batu arang tidak melebihi 25% daripada keseluruhan pendapatan.

 

Malah, TNB juga telah menyatakan sebelum ini tidak akan membuat pelaburan dalam loji arang batu selepas Jimah East Power beroperasi pada 2019. 

 

Memandangkan loji batu arang utama secara berperingkat akan menghentikan operasi, pendapatan kumpulan menerusi batu arang sepatutnya tidak melebihi 20% menjelang 2030 berbanding 22.1% bagi tahun kewangan 2021, berdasarkan unjuran TNB.

 

Siew Teng berkata, TNB telah mewujudkan kumpulan khas dan melantik perunding luar untuk melihat aspek ESG secara khusus dan mengenal pasti peluang perniagaan daripada peralihan tenaga. 

 

"Di samping itu, kami berpendapat, TNB juga berada di kedudukan terbaik untuk mendapat manfaat daripada pelaburan grid tambahan," katanya. 

 

Menurutnya, infrastruktur grid sedia ada boleh meningkat kepada 27% daripada RE berbanding 5% ketika ini. 

 

TNB merancang perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM25 bilion di bawah Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) untuk 2022 hingga 2024, yang mana lebih tinggi berbanding RP2 sebanyak RM19 bilion dengan lebih banyak capex diperuntukkan untuk peralihan tenaga. 

 

"Dengan kedudukan monopoli dari segi penghantaran dan pengagihan di Malaysia, kami percaya TNB akan mendapat manfaat daripada trend ini memandangkan pelaburan berterusan ini akan menjadi sebahagian daripada asas aset terkawal TNB, dan menyokong pendapatannya pada masa depan," jelasnya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' bagi saham TNB dengan harga sasaran RM13.40. - DagangNews.com