KUALA LUMPUR 4 Jan - Tengku Ariff Azhar Tengku Mohamed yang kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) Maybank Investment Bank Berhad (MIBB), dilantik sebagai pemangku ketua pegawai eksekutif berkuat kuasa 3 Januari 2024, berikutan peletakan jawatan Datuk Fad'l Mohamed.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Global Maybank, Datuk Muzaffar Hisham berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Fad’l atas sumbangannya yang tidak ternilai sepanjang sembilan tahun lalu.
"Beliau memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan francais perbankan pelaburan kami di Malaysia, memenangi tawaran dan anugerah dan menyokong pencapaian keutamaan strategik M25+ Maybank.
"Kami mendoakan beliau selamat dalam usaha baharunya," katanya dalam kenyataan media di sini.
Tengku Ariff akan mengambil alih pengurusan harian MIBB sebagai tambahan kepada tugas COOnya, sehingga CEO baharu dilantik. - DagangNews.com