Faktor kos bukan penghalang serap semua kakitangan kontrak ke jawatan tetap - CUEPACS | DagangNews Skip to main content

Faktor kos bukan penghalang serap semua kakitangan kontrak ke jawatan tetap - CUEPACS

Kakitangan awam

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Julai - Faktor kos dan kekangan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan sepatutnya tidak menghalang usaha untuk menyerap semua kakitangan berstatus kontrak ke jawatan tetap.

 

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, ini kerana pelantikan kepada jawatan tetap merupakan satu keperluan pada masa kini dan akan datang.

 

"Tambahan pula ketika ini masih banyak kawasan yang berlaku kekurangan fasiliti kesihatan serta kakitangan yang terlibat untuk memastikan operasi fasiliti kesihatan tersebut lancar.

 

"Begitu juga dengan kakitangan berstatus kontrak di lain-lain kementerian yang hanya menunggu masa untuk ditamatkan kontrak mereka ketika negara berhadapan dengan situasi pandemik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam kenyataan sama, beliau turut memberi penghargaan kepada kerajaan kerana bersedia untuk mempertimbangkan rayuan bagi menyerap masuk pegawai kesihatan kontrak KKM ke dalam perkhidmatan awam secara tetap.

 

Menurutnya, pertimbangan tersebut sedikit sebanyak memberi sinar kepada lebih 23,000 pegawai kesihatan berstatus kontrak ketika yang mencurah keringat memberi khidmat kepada rakyat.

 

Bagaimanapun, pihaknya berpandangan bahawa kerajaan tidak seharusnya memberi tumpuan kepada isu pegawai kesihatan berstatus kontrak sahaja kerana terdapat puluhan ribu lagi perjawatan di KKM dan lain-lain kementerian yang masih berstatus kontrak serta menunggu masa untuk ditamatkan.

 

Baca: Rayuan doktor kontrak ke jawatan tetap akan dibawa ke Kabinet - PM

 

"CUEPACS difahamkan terdapat kira-kira 1,200 pegawai pemantau harga di KPDNHEP akan ditamatkan kontrak mereka pada penghujung tahun ini.

 

"Penamatan kontrak tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan situasi semasa yang menyaksikan rakyat tertekan dengan kenaikan harga barangan sewenang-wenangnya oleh sesetengah pengusaha," katanya lagi.

 

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar kerajaan tidak terikat dengan waran perjawatan yang lama dalam mengisi perjawatan perkhidmatan awam dan sepatutnya boleh disesuaikan mengikut situasi semasa negara.

 

"Setiap tahun rakyat akan bertambah dan bajet negara juga akan bertambah. Tempoh ujian sebenar kepada kerajaan adalah sejauh mana kerajaan menjaga kebajikan pekerja dan rakyat.

 

"Dalam situasi semasa negara ketika ini, kerajaan tidak boleh terlalu berkira dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara," tambahnya. - DagangNews.com