FAQ mengenai Kelayakan Pemilik Kenderaan Diesel Individu dibawah BUDI oleh MoF | DagangNews Skip to main content

FAQ mengenai Kelayakan Pemilik Kenderaan Diesel Individu dibawah BUDI oleh MoF

SOALAN LAZIM (FAQ) Pemilik Kenderaan Diesel Persendirian 

 

1. Apakah itu BUDI Individu?

BUDI Individu merupakan sumbangan tunai Kerajaan lanjutan daripada pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel. Kategori ini khusus untuk individu daripada golongan bukan T20 yang memiliki kenderaan diesel di Semenanjung Malaysia.

 

2. Bilakah permohonan BUDI Individu akan dibuka?

Permohonan BUDI Individu dibuka sepanjang tahun mulai 28 Mei 2024.

 

3. Apakah syarat kelayakan individu untuk memohon BUDI Individu?

Syarat kelayakan untuk memohon BUDI Individu adalah seperti berikut:

a) Pemohon

i. Warganegara Malaysia;
ii. Pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100 ribu dan ke bawah berdasarkan data LHDN; dan
iii. Memohon secara dalam talian di laman web BUDI MADANI iaitu https://budimadani.gov.my

 

b) Kriteria Pemilikan Kenderaan

i. Kenderaan kegunaan persendirian (diesel) individu;
ii. Lesen Kenderaan Motor (Cukai Jalan Kenderaan) aktif;
iii. Kenderaan diesel diisytiharkan di Semenanjung Malaysia; dan iv. Berdaftar di JPJ menggunakan nombor MyKad.

 

c) Kriteria Tambahan Tidak Layak BUDI Individu

i. Motosikal diesel;
ii. Kenderaan diesel persendirian berdaftar bagi kegunaan syarikat/ pertubuhan;
iii. Kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun;
iv.Kenderaan berdaftar sebagai e-hailing; atau
v. Jenis kenderaan: Karavan, motorhome, van persiaran, dan bas persiaran.

 

4. Bagaimanakah cara untuk menyemak sama ada saya layak untuk menerima bantuan BUDI Individu?

Status kelayakan bagi bantuan BUDI Individu akan dimaklumkan selepas pemohon selesai membuat permohonan di portal rasmi BUDI MADANI di https://budimadani.gov.my.

Sekiranya tidak diluluskan, dan pemohon memenuhi syarat kelayakan BUDI Individu, pemohon boleh mengemukakan rayuan atau menghubungi pusat panggilan.

Rayuan akan mulai dibuka pada awal Jun 2024.

 

BACA Program Bantuan Subsidi Madani dibuka untuk permohonan - MoF

 

5. Bagaimanakah cara untuk memohon BUDI Individu?

Permohonan BUDI boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi BUDI Individu di https://budimadani.gov.my dengan kaedah berikut:

a. Mendaftar akaun pengguna

b. Klik pada Mohon Di Sini bagi BUDI Individu

c. Masukkan maklumat pemohon seperti berikut:
i. No. Mykad
ii. No. Telefon Bimbit
iii. Nama Bank
iv. No. Akaun Bank
v. Alamat e-mel

d. Maklumat Kenderaan Diesel seperti berikut:
i. Nombor Pendaftaran Kenderaan
ii. Tarikh Luput Lesen Kenderaan Motor (Cukai Jalan Kenderaan) iii. Jenama / Model Kenderaan
iv. Kelas Kegunaan Kenderaan

 

6. Berapa lamakah tempoh proses tersebut sebelum mendapat kelayakan?

Pemohon boleh menyemak status permohonan dengan menekan butang “Semak Status” pada papan pemuka (dashboard) permohon.

 

7. Bagaimanakah kaedah pembayaran BUDI Individu ini akan dibuat?

Pembayaran akan dikreditkan ke akaun yang berdaftar dalam sistem BUDI MADANI atau secara tunai di mana-mana Cawangan BSN sekiranya tiada akaun bank.

 

8. Setelah mendapat kelulusan permohonan, apakah tempoh yang akan diambil untuk menyalurkan bantuan tunai tersebut?

Maklumat lanjut berkenaan tempoh penyaluran bantuan boleh diperolehi dengan menekan butang “Semak Status” pada papan pemuka (dashboard) permohon.

 

9. Bilakah tarikh pembayaran BUDI Individu akan dibuat?

Maklumat lanjut berkenaan tarikh pembayaran boleh diperolehi dengan menekan butang “Semak Status” pada papan pemuka (dashboard) permohon.

 

10. Apakah kekerapan pembayaran BUDI Individu ini?

Maklumat lanjut berkenaan pembayaran boleh diperolehi dengan menekan butang “Semak Status” pada papan pemuka (dashboard) permohon.

 

11. Sekiranya saya tidak mempunyai akaun bank apa yang perlu saya lakukan?

Pemohon yang layak namun tidak mempunyai akaun bank boleh ke mana-mana Cawangan BSN untuk menerima pembayaran secara tunai.

 

12. Sekiranya Lesen Kenderaan Motor jalan saya tamat tempoh, adakah pembayaran BUDI Individu masih berjalan?

Pembayaran BUDI Individu akan terhenti sehingga individu berkenaan memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (Cukai Jalan Kenderaan).

Pemohon digalakkan untuk mengemukakan permohonan baharu (sekiranya belum memohon), atau mengemukakan permohonan rayuan kepada portal BUDI https://budimadani.gov.my .Pembayaran akan dibuat semula apabila semakan data agensi menunjukkan Lesen Kenderaan Motor tersebut aktif.

 

13. Jika saya lewat mendaftar dari tarikh permohonan dibuka, adakah saya menerima bayaran BUDI Individu untuk bulan-bulan sebelumnya?

Bayaran BUDI Individu hanya akan dibuat mulai bulan permohonan diluluskan. Setelah permohon dibuat, bantuan tunai akan disalurkan kepada pemohon yang diluluskan mengikut bulan permohonan diluluskan.

Maklumat lanjut berkenaan tarikh pembayaran boleh diperolehi dengan menekan butang “Semak Status” pada papan pemuka (dashboard) permohon.

 

14. Pendapatan bulanan saya ialah RM5,000 manakala pendapatan suami/isteri saya ialah RM11,000. Adakah saya layak untuk memohon BUDI Individu?

Pendapatan pemohon atau pasangan mestilah tidak melebihi RM100,000 setahun.

 

15. Suami/ Isteri saya merupakan wakil rakyat di kawasan ABC. Adakah saya layak untuk memohon BUDI Individu sekiranya saya mempunyai kenderaan diesel?

Wakil rakyat dan pasangan tidak layak.

 

16. Saya mempunyai sebuah karavan/motorhome/van-bas persiaran yang menggunakan diesel. Adakah saya layak untuk memohon BUDI Individu?

Karavan/motorhome/van-bas persiaran tidak menepati kriteria jenis badan kenderaan diesel persendirian yang layak.

 

17. Apakah tindakan yang perlu diambil sekiranya permohonan ditolak kerana maklumat pendaftaran kenderaan di JPJ tidak selari dengan kegunaan semasa?

Anda perlu hadir ke kaunter JPJ berhampiran untuk mengemas kini maklumat berkenaan. Anda perlu mengemukakan rayuan dan tindakan semakan semula kelayakan akan dibuat selepas maklumat terkini diterima daripada pihak JPJ.

 

18. Apakah tindakan yang perlu diambil sekiranya permohonan ditolak?

Maklumat lanjut berkenaan asas permohonan ditolak boleh diperolehi dengan menekan butang “Semak Status” pada papan pemuka (dashboard) permohon.

Setelah asas diperoleh, pemohon perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk mengemaskini maklumat peribadi atau maklumat kenderaan sebelum mengemukakan rayuan.

 

19. Saya gagal untuk mendaftar bagi program BUDI Individu, di manakah saya boleh mendapatkan bantuan?

Sekiranya gagal mendaftarkan diri atau menerima keputusan tidak diluluskan (dan pemohon memenuhi syarat kelayakan BUDI Individu), pemohon digalakkan untuk mengemukakan rayuan atau menghubungi pusat panggilan.

 

20. Saya memiliki syarikat perdagangan dan telah menerima fleet card melalui program SKDS 1.0. Adakah saya layak memohon BUDI Individu?

Tidak layak sekiranya permohonan BUDI Individu menggunakan maklumat pendaftaran kenderaan yang sama dengan permohonan di SKDS.

Namun, sekiranya pemohon memiliki kenderaan diesel persendirian, anda masih layak untuk memohon di bawah BUDI Individu, tertakluk kepada syarat kelayakan.

 

21. Saya telah membuat permohonan fleet card melalui program SKDS 2.0, tetapi belum mendapat sebarang kelulusan. Adakah saya boleh membuat permohonan BUDI Individu?

Fleet card adalah bagi kenderaan 33 jenis badan merangkumi 10 badan bagi SKDS 1.0 dan 23 badan bagi SKDS 2.0, manakala permohonan BUDI Individu adalah untuk pemohon kenderaan diesel persendirian milik individu.

Sekiranya nombor pendaftaran kenderaan berkenaan ditemui dalam rekod SKDS 1.0 atau SKDS 2.0 berdasarkan rekod agensi, anda tidak layak memohon BUDI Individu.

 

22. Kenderaan saya didaftarkan di Selangor/Semenanjung Malaysia, tetapi Lesen Kenderaan Motor kenderaan kenderaan tersebut dibayar di Sabah/Sarawak memandangkan saya menggunakannya untuk bekerja dan tinggal di Sabah/Sarawak. Adakah saya layak untuk memohon BUDI Individu?

Tidak layak. Kriteria semasa hanya layak bagi kenderaan yang digunakan dan Lesen Kenderaan Motor dibayar di Semenanjung Malaysia sahaja.

 

23. Saya telah berpindah daripada Sabah ke Selangor dan membawa kenderaan saya yang diisytiharkan di Sabah. Adakah saya layak untuk memohon BUDI Individu?

Anda layak untuk memohon. Namun, memandangkan LKM kenderaan masih didaftarkan di Sabah, anda perlu mengemaskini maklumat kenderaan di mana-mana cawangan JPJ di Semenanjung Malaysia terlebih dahulu.

Selepas itu, pemohon digalakkan untuk mengemukakan permohonan baharu (sekiranya belum memohon), atau mengemukakan permohonan rayuan kepada portal BUDI https://budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan BUDI atau mengemukakan emel kepada budimadani@treasury.gov.my

 

24. Saya telah menerima bayaran BUDI Individu pada 8 Julai 2024 bagi bulan Jun dan Lesen Kenderaan Motor kenderaan saya akan tamat tempoh pada 24 Julai 2024 dan tidak diperbaharui. Adakah saya akan menerima bayaran BUDI Individu bagi bulan Julai?

Tidak. Pembayaran BUDI Individu akan terhenti sehingga individu berkenaan memperbaharui Lesen Kenderaan Motor dan membuat permohonan semula.

 

25. Sebagai peniaga pasar malam / usahawan kecil yang menggunakan diesel untuk genset, kenapa saya tidak mendapat bantuan?

Buat masa ini, permohonan BUDI Individu melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian milik individu. Sebarang perkembangan dan penambahbaikan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

 

26. Pendaftaran saya akan sah sehingga bila?

Buat masa ini, tiada tarikh tamat bagi pendaftaran di portal rasmi BUDI MADANI.

 

27. Adakah bantuan tunai diesel untuk setiap kenderaan atau setiap individu?

Bantuan tunai ini akan disalurkan kepada pemilik kenderaan diesel yang menepati kriteria program BUDI Individu.

 

28. Siapakah yang saya boleh hubungi sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berhubung BUDI Individu?

Pertanyaan boleh dipanjangkan ke Pusat Panggilan Bantuan Khas Kerajaan (BKK) HASiL atau Talian BUDI MOF bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang pada Isnin hingga Jumaat di talian berikut:

(1) Talian BUDI Individu (BKK HASiL): 1-800-88-2747

(2) Talian BUDI Individu (MOF): 03-8882 4565 atau 03-8882 4566.

Alamat e-mel : budimadani@treasury.gov.my - DagangNews.com