Farm Price terima kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Farm Price terima kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mac - Pemborong dan pengedar sayur-sayuran segar dari Johor, Farm Price Holdings Bhd menerima kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Berdasarkan draf prospektusnya, tawaran awam permulan(IPO) kumpulan itu melibatkan terbitan awam sebanyak 102 juta saham biasa baharu serta tawaran untuk penjualan 33 juta saham sedia ada, masing-masing mewakili 22.67% dan 7.33% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 450 juta saham biasa.

 

Farm Price juga mengendalikan pusat pengedaran serantau di seluruh wilayah utara, tengah serta selatan Semenanjung Malaysia, bersama Pusat Pengedaran Berpusat Senai, Johor bagi memenuhi permintaan pasaran domestik dan Singapura.
 

Kumpulan juga mengendalikan kedai runcit di Ulu Tiram, Johor dengan menjual sayur-sayuran segar bersama-sama produk makanan dan minuman (F&B) dan barangan runcit lain secara terus.

 

Pengarah Urusan Farm Price, Dr. Tiong Lee Chian berterima kasih kepada Bursa Securities kerana meluluskan penyenaraian itu dan percaya bahawa orang ramai perlu diberi peluang melabur dalam perniagaan yang berperanan memastikan bekalan sayur segar mencukupi di pasaran. 

 

Beliau berkata, selepas pandemik, isu keselamatan makanan menjadi semakin penting kepada semua pihak termasuk pemimpin negara.

 

"Kami mengembangkan perniagaan daripada bawah dan mengatasi pelbagai cabaran yang datang.

 

"Memandangkan sifat produk kami yang mudah rosak, seseorang boleh membayangkan proses yang rumit melibatkan penyimpanan, pengurusan inventori dan pengaturan logistik yang kami kendalikan setiap hari. Ia merupakan sesuatu yang boleh kami laksanakan dengan baik," katanya. - DagangNews.com