KOTA BHARU 29 Mac - Farmasi Superbig menyasarkan untuk membuka 14 lagi cawangan baharu yang menggunakan kaedah pandu lalu di setiap negeri menjelang hujung tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Farmasi Superbig Dr Wan Sazrina Wan Zaid berkata secara keseluruhan pihaknya merancang untuk membuka 20 cawangan farmasi yang menggunakan kaedah pandu lalu tahun ini.
Farmasi Superbig telah berjaya membuka enam cawangan farmasi dari bulan Januari hingga bulan ini (Mac), katanya.
“Farmasi Superbig merancang untuk membuka farmasi yang menggunakan kaedah pandu lalu di setiap negeri, pihak farmasi telah mengadakan lawatan ke lokasi yang bersesuaian terutama tempat yang sesak dan memiliki penduduk yang ramai bersesuaian dengan konsep syarikat membantu serta memudahkan masyarakat.
“Mengikut perancangan awal, Farmasi Superbig akan membuka dua buah cawangan yang menggunakan kaedah pandu lalu sebulan,” katanya pada sidang media di sini hari ini, lapor Bernama.
Terdahulu, Wan Sazrina mewakili Farmasi Superbig menerima Anugerah Malaysia Book Of Records sebagai Farmasi Komuniti Pandu Lalu Pertama di Malaysia.
Selain itu, beliau berkata Farmasi Superbig Kubang Kerian menerima sambutan positif daripada masyarakat setempat sejak mula dibuka lebih sebulan lalu.
“Respon pelanggan sangat positif, mereka lebih suka membeli melalui kaedah pandu lalu berbanding perkhidmatan di kaunter kerana tidak perlu mengambil masa untuk mencari tempat letak kenderaan,” katanya. - DagangNews.com