Fasa 2 Pan Borneo Limbang-Lawas `restart’, dijadual siap 2028 | DagangNews Skip to main content

Fasa 2 Pan Borneo Limbang-Lawas `restart’, dijadual siap 2028

Sebahagian daripada Lebuh Raya Pan-Borneo di Serian, Bahagian Kuching. - Gambar Zecon Berhad

KUALA LUMPUR 7 Mac – Pembinaan Fasa 2 Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak dari Limbang ke Lawas yang dibatalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), akan disambung semula tahun ini dan dijangka siap menjelang 2028.

 

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, kerajaan komited untuk menyiapkan projek itu yang mempunyai objektif untuk memudahkan perjalanan antara kedua-dua kawasan tanpa melepasi Brunei.

 

Kabinet pada dasarnya bersetuju dengan pelaksanaan projek itu, pada mesyuaratnya pada 4 Mac, katanya pada sesi soal jawab Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) mengenai status terkini pembinaan Fasa 2 LPB Sarawakdi Dewan Rakyat pada 7 Mac.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memberi jaminan akan mencari jalan untuk menyambung semula pembinaan Fasa 2 projek LPB (Sarawak) dari Limbang ke Lawas.

 

Semasa lawatan Perdana Menteri ke Brunei pada 14 dan 15 Feb, beliau berkata, kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan beberapa projek berimpak tinggi termasuk Lebuh raya Trans-Borneo meliputi Fasa 2 bahagian Sarawak LPB dan Fasa 2 Projek jalan raya Link Sarawak-Sabah (SSLR).

 

Mengenai kemajuan kerja Fasa 1 projek LPB di Sarawak yang melibatkan laluan sepanjang 786km, Arthur berkata, ia telah siap 78% setakat Januari lalu.

 

Beliau berkata terdapat beberapa pakej dalam projek itu yang akan mengalami sedikit kelewatan akibat pandemik COVID-19 dan ia dijangka siap tahun depan.

 

“Kementerian bersama Jabatan Kerja Raya Sarawak akan melihat perkembangan projek itu dan melaksanakan pelbagai pelan mitigasi termasuk menyelaraskan semula jadual pembinaan dan lanjutan masa (EOT) bagi memastikan pembinaan berjalan lancar,” katanya.


 

pan borneo

 


Arthur berkata, kementerian juga akan mengadakan lawatan berkala dan sesi penglibatan bersama kontraktor dan perunding terbabit untuk menilai keberkesanan pelan mitigasi dan memastikan kelancaran pelaksanaan projek. – DagangNews.com