Fasa kedua projek kediaman 168 Park Selayang berharga RM397,000 dilancar | DagangNews Skip to main content

Fasa kedua projek kediaman 168 Park Selayang berharga RM397,000 dilancar

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Okt - 168 Park Selayang, projek pembangunan bercampur pertama di Selayang melancarkan blok kediaman terakhirnya, Blok B berharga bermula daripada RM397,000.

 

Blok terakhir projek pembangunan berkenaan yang terletak di Jalan Kuching merupakan sebuah bangunan pencakar langit setinggi 49 tingkat, terdiri daripada 956 unit kediaman yang menjadikannya bangunan tertinggi di Selayang. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif 168 Park Selayang Sdn Bhd, Edward Lum berkata, salah satu daripada misi utama pihaknya adalah untuk menawarkan pengalaman kehidupan mewah yang mampu dimiliki kepada penduduk Selayang. 

 

"Kami melancarkan Blok A pada bulan Mac, dan hanya dalam tempoh dua bulan, kadar peratusan pembelian untuk 477 unit kediaman berkenaan adalah sebanyak 80%. 

 

"Ini menunjukkan permintaan yang tinggi untuk unit perumahan seperti yang kami tawarkan di kawasan ini, terutamanya dengan lokasi strategik yang berhampiran dengan pusat bandar Kuala Lumpur. 

 

"Unit-unit kediaman kami menyepadukan gaya hidup yang komprehensif dan mampan, dengan mengetengahkan kualiti dan kemudahan pada tahap tertinggi," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut Lum, Blok B merupakan unit premium yang diilhamkan daripada oasis dan berkonsepkan ruang perlindungan yang selesa. 

 

 

168park

 

 

"Dengan persekitaran lobi yang mengagumkan dengan pelbagai kemudahan yang direka untuk mewujudkan suasana umpama percutian, kami percaya bahawa 168 Park Selayang mampu menjadi sebuah tempat yang memberi ketenangan dan keselesaan untuk penghuninya berehat. 

 

"Kami juga berbangga untuk mengumumkan bahawa pembeli rumah kali pertama layak untuk memohon program iMiliki yang ditawarkan oleh kerajaan sekiranya mereka memenuhi syarat keperluan," katanya.

 

Setiap unit menyediakan sistem kediaman pintar canggih dengan suis pintar dan kunci pintar yang boleh dikawal melalui aplikasi telefon yang mesra pengguna dan ringkas untuk kemudahan dan keselamatan tambahan.

 

168 Park Selayang akan menyediakan 12 pengecas EV untuk kemudahan pengecasan penghuni dan pengunjung. Pengecas-pengecas ini akan diletakkan di tempat-tempat strategik di projek berkenaan.

 

Ia juga menawarkan kemudahan termasuklah sebuah taman Jepun, kebun herba, sauna, zon yoga, kemudahan sukan seperti gelanggang bola keranjang dan gimnasium, serta pelbagai kemudahan berkonsepkan suasana istirehat.  - DagangNews.com