FGV bayar balik RM74.15 juta kepada 22,091 bekas pekerja asing | DagangNews Skip to main content

FGV bayar balik RM74.15 juta kepada 22,091 bekas pekerja asing

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Ogos - FGV Holdings Bhd telah membayar RM74.15 juta kepada 22,091 bekas pekerja asing yang layak menerima pampasan yuran pengambilan pekerjaan melalui inisiatif pemabayaran balik bekas pekerja asing. 

 

Menerusi inisiatif itu, kumpulan perladangan itu sedang menghubungi bekas pekerja asing untuk memaklumkan program itu serta menggalakan mereka mengemukakan tuntutan di bawah program pembayaran balik bekas pekerja. 

 

FGV berkata, keseluruhannya, sebanyak RM112 juta diperuntukkan untuk membayar balik yuran pengambilan pekerja asing termasuk kepada bekas pekerja asing, selaras dengan komitmen terhadap pengambilan pekerja bertanggungjawab.

 

"Skop program pembayaran balik kami meliputi bekas pekerja dari Indonesia, India dan Bangladesh yang telah bekerja dengan kumpulan kami pada atau selepas 30 September 2018, dan sejak itu telah meninggalkan pekerjaannya sebelum atau pada 31 Disember 2022.

 

"Usaha FGV untuk membayar balik bekas pekerja asing dijangka berjalan sehingga penghujung 2024," ujar FGV dalam kenyataan hari ini. 

 

Menurut FGV, bekas pekerja itu perlu menyerahkan borang permohonan dalam talian serta menyediakan dokumentasi diperlukan termasuk butiran pasport, ID pekerja dan maklumat akaun bank. 

 

Kumpulan itu juga menggalakkan bekas pekerja menuntut bayaran sebelum atau pada 31 Disember 2024. 

 

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya, FGV telah memperkenalkan beberapa inisiatif untuk melindungi hak pekerja migran, termasuk pengambilan pekerja baharu di bawah polisi ‘tiada bayaran pengambilan’ serta pembinaan kapasiti dan usaha wajar ketat terhadap pengambilan agensi.

 

Sementara itu, syarikat juga telah melaksanakan mekanisme teguh untuk memantau syarikat jika mereka gagal memenuhi prinsip dan standard pengambilan etika FGV yang boleh mengakibatkan penggantungan, penamatan atau penyenaraian hitam agensi.- DagangNews.com