FGV kembali catat untung bersih RM86.4 juta pada 2QFY24 dipacu segmen perladangan, logistik serta sokongan | DagangNews Skip to main content

FGV kembali catat untung bersih RM86.4 juta pada 2QFY24 dipacu segmen perladangan, logistik serta sokongan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Ogos - FGV Holdings Bhd kembali mencatatkan untung bersih sebanyak RM86.38 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) berbanding kerugian bersih RM12.9 juta bagi suku sama tahun sebelumnya dipacu keuntungan lebih tinggi sektor perladangan, logitik dan sokongan.

 

Bagaimanapun, sebahagiannya diimbangi oleh prestasi yang lebih lemah dalam segmen gula serta bahagian minyak serta lemak pada suku semasa.

 

Ia juga berjaya memulihkan kerugian bersih sebanyak RM13.49 juta pada 1QFY24.

 

 

Hasil kumpulan bagi suku itu juga meningkat sebanyak 22.7% kepada RM5.52 bilion berbanding RM4.49 bilion pada 2!FY23 dipacu purata harga minyak sawit mentah (MSM) dan jumlah jualan lebih tinggi.

 

Harga MSM meningkat kepada RM4,103 setiap tan pada 2QFY24 berbanding RM4,000 bagi satu tan pada 2QFY23.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, FGV berkata, bahagian perladangannya mencatatkan keuntungan RM100.55 juta pada 2QFY24 berbanding kerugian RM61.64 juta setahun sebelumnya. 

 

"Ia didorong peningkatan 23% dalam pengeluaran tandan buah segar (BTS) kepada 960,000 tan metrik daripada 780,000 tan metrik pada 2QFY23, memberikan hasil yang lebih tinggi sebanyak 3.76 tan sehektar daripada 2.91 tan sehektar.

 

"Selain itu, harga BTS meningkat sebanyak 6.5% kepada RM819 setiap tan,  manakala kos operasi ladang menurun sebanyak 6%," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, bagi enam bulan terkumpul berakhir 30 Jun 2024 (1HFY24), mereka juga berjaya mencatatkan untung bersih RM72.89 juta berbanding kerugian bersih RM805,000 pada 1HFY23, manakala hasil meningkat 10.7% kepada RM10.06 bilion daripada RM9.09 bilion setahun sebelumnya.

 

Mengenai prospek, FGV berkata permintaan dan penawaran minyak sawit dijangka kekal stabil pada separuh kedua 2024. Ia mengunjurkan harga MSM antara RM3,800 satu tan dan RM4,000 satu tan pada 2024.

 

"Secara operasi, FGV akan terus mengutamakan inisiatif peningkatan hasil dalam operasi perladangannya dengan memantau rapi proses penuaian tanaman dan memperluaskan mekanisasi untuk pemindahan BTS yang cekap. 

 

"Kumpulan itu secara aktif mempelbagaikan pangkalan pembekal BTS untuk meningkatkan kestabilan rantaian bekalan.

 

"Dari segi kos, penurunan harga baja telah membantu mengurangkan tekanan kos pengeluaran dan dijangka berterusan sepanjang 2024," katanya.

 

Bagi segmen gula, mereka tetap berhati-hati dengan peningkatan ketegangan geopolitik, yang mungkin meningkatkan kos input dan memberi kesan kepada prestasi kewangan. Pada masa yang sama, bahagian itu mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran domestik dan eksport sambil meneroka peluang serantau baharu.

 

Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, FGV menjangkakan prestasi yang memuaskan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24), sejajar dengan jangkaan industri.- DagangNews.com