Filipina bakal pilih pesawat terpakai JAS 39 Gripen untuk pemodenan tentera udara | DagangNews Skip to main content

Filipina bakal pilih pesawat terpakai JAS 39 Gripen untuk pemodenan tentera udara

Filipina berminat mendapatkan pesawat tempur terpakai JAS 39 Gripen bagi meningkatkan keupayaan udaranya.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 3 Julai - Keperluan untuk memperkuatkan angkatan udara menyaksikan Filipina akan memuktamadkan keputusan bagi mendapatkan pesawat tempur terbaharu dalam masa terdekat.

 

Ini susulan memorandum persefahaman (MoU) pertahanan yang dimeterai antara Filipina dan Sweden bagi cadangan menawarkan pesawat JAS 39 Gripen untuk negara itu.

 

Menerusi MoU tersebut, syarikat pertahanan Sweden akan mengambil bahagian dalam pelbagai program pemodenan Angkatan Tentera Filipina.

 

Ia khususnya mengenai keutamaan Tentera Udara Filipina (PAF) dalam meningkatkan keupayaan pengawasan dan pertahanan udara.

 

Sweden menawarkan JAS Gripen versi C dan D yang dinaik taraf kepada Filipina.
Sweden menawarkan JAS Gripen versi yang dinaik taraf kepada Filipina.

 

PAF sedang menjalankan program perolehan pesawat tempur pelbagai peranan yang mana Sweden menawarkan pesawat terpakai JAS 39 Gripen. 

 

Pesaing lain adalah Amerika Syarikat (F-16 Viper), India (HAL Tejas) dan China (JF-17 Thunder).

 

Difahamkan, dua calon yang cenderung dalam pertimbangan PAF ialah Gripen dan F-16 Viper.

 

AS sejak beberapa tahun lalu giat melobi agar Filipina memilih pesawat F-16 namun, faktor kekangan belanjawan menyebabkan hasrat tersebut sukar.

 

Perolehan kira-kira 12 buah pesawat F-16 Block 70 serba baharu dengan harga kira-kira AS$2.43 bilion dikatakan terlalu mahal untuk dibiayai kerajaan Filipina.

 

Faktor kos mengekang Filipina untuk mendapatkan pesawat F-16 Viper.
Faktor kos mengekang Filipina untuk mendapatkan pesawat F-16 Viper.

 

Justeru, opsyen yang terbaik adalah untuk mendapatkan pesawat tempur terpakai pada kos yang mampu milik.

 

Seperti rakan serantau Malaysia, Thailand dan Indonesia, Filipina turut berdepan dengan keperluan meningkatkan keupayaan angkatan udaranya.

 

Bagaimana pun, berbanding rakan serantau lain, angkatan udaranya jauh terkebelakang apabila masih mengoperasikan pesawat generasi lama manakala jumlah aset yang dimiliki terhad.

 

Pada tahun 2017 Filipina memperoleh 12 buah pesawat tempur ringan (LCA) FA-50PH buatan Korea Selatan melibatkan perbelanjaan kira-kira AS$530 juta.

 

Negara itu juga antara pengguna awal pesawat berkenaan di rantau ini selepas Indonesia sebelum diikuti Thailand.

 

Filipina seperti tentera udara negara serantau turut berdepan dengan isu kekurangan pesawat.
Filipina seperti tentera udara negara serantau turut berdepan dengan isu kekurangan pesawat.

 

Pesawat FA-50PH milik PAF.
Sebahagian daripada pesawat FA-50PH milik PAF.
 

 

Korea Selatan ketika ini turut mencadangkan agar PAF menaik taraf pesawat berkenaan kepada variasi termaju bagi meningkatkan keupayaan tempurnya.

 

Menerusi program naik taraf yang ditawarkan, pesawat FA-50PH ini mampu melaksanakan operasi serangan udara ke darat, pertahanan maritim dan pelbagai operasi udara.

 

Ini termasuklah mempertingkatkan kemampuan radar dan sistem penjejak sasaran serta pemasangan tangki minyak tambahan untuk menambah jarak penerbangan sedia ada.

 

Tawaran tersebut jika dilakukan merupakan pilihan yang terbaik dan kos efektif bagi Filipina untuk meningkatkan keupayaan udara.

 

Stockholm pula menawarkan pesawat Gripen variasi C dan D (jenis satu dan dua tempat duduk) yang dinaik taraf dengan sistem elektronik paling mutakhir.

 

Perolehan pesawat JAS 39 Gripen terpakai merupakan pilihan terbaik untuk Filipina.
Perolehan pesawat terpakai JAS Gripen merupakan pilihan terbaik untuk Filipina.
 
Pesawat JAS Gripen dan Saab 340 milik Thailand.
Pesawat JAS Gripen dan Saab 340 milik Thailand.

 

Pada Mei lalu, PAF telah menghantar delegasi ke Sweden bagi melawat kemudahan firma Saab serta mendapatkan penerangan mengenai JAS-39 Gripen dan pesawat radar amaran awal (AEW) Saab 340.

 

Berkemungkinan tawaran Sweden kepada PAF termasuk mendapatkan pesawat AEW ini.

 

Ia merupakan tawaran yang baik kerana mengoperasikan pesawat tempur bersama AEW adalah gandingan yang sangat diperlukan dalam mana-mana tentera udara.

 

Dengan kedudukan Filipina sebagai negara kepulauan besar, perolehan pesawat AEW akan melonjakkan kemampuan pengawasan serta pemerintahan kawalan udara.

 

Sekiranya perolehan ini terlaksana, PAF akan menjadi tentera udara kedua di rantau ini selepas Thailand yang mengoperasikan kedua-dua pesawat Gripen dan Saab 340. - DagangNews.com