Finas tawar 2 dana tingkat penghasilan kandungan kreatif | DagangNews Skip to main content

Finas tawar 2 dana tingkat penghasilan kandungan kreatif

Produksi

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 April - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menawarkan dua dana iaitu 'Dana PELAKSANA 3.0 Kenegaraan' dan 'Dana Program TV/OTT' untuk meningkatkan penghasilan karya kandungan kreatif.

 

Finas berkata, Dana PELAKSANA 3.0 Kenegaraan yang mendapat kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertujuan untuk meningkatkan penghasilan karya kandungan kreatif yang bertemakan kenegaraan serta berupaya menjana semula ekonomi industri kreatif yang terkesan akibat wabak pandemik COVID-19.

 

Jelas perbadanan itu, inisiatif Dana PELAKSANA 3.0 Kenegaraan itu ditawarkan kepada syarikat produksi tempatan untuk menerbitkan karya bagi slot khas di platform stesen televisyen bertemakan kenegaraan melibatkan kategori penerbitan Drama Bersiri Mini (8 episod) dan Supertelemovie.

 

"Finas juga turut menawarkan Dana Program TV/OTT dengan kerjasama Media Prima kepada syarikat produksi tempatan yang melibatkan penerbitan Supertelemovie.

 

"Ia bertujuan untuk meningkatkan kandungan kreatif tempatan dan penontonan di platform penyiar OTT serta memperbanyakkan pemilikan Hak Cipta Kandungan dalam kalangan penerbit tempatan bagi penjanaan keuntungan di masa hadapan.

 

 

Berikut adalah ketetapan jumlah pembayaran dana berdasarkan milestone (perkembangan projek);

 

.

 

Finas memberitahu, pendaftaran permohonan bagi program tersebut telah dibuka bermula 26 April hingga 25 Mei 2021

 

Butiran lanjut dan borang permohonan berkaitan dana berkenaan boleh didapati melalui pautan https://www.finas.gov.my/prisma/dana-pelaksana-3.html bagi Dana PELAKSANA 3.0 Kenegaraan dan https://www.finas.gov.my/prisma/dana-program-TVOTT.html bagi Dana Program TV/OTT. 


 

Borang permohonan yang lengkap hendaklah dihantar ke alamat:

 

i) Semenanjung Malaysia

(Dana PELAKSANA 3.0 Kenegaraan)
Unit PELAKSANA Dana Kandungan Digital,
Bahagian Pengurusan Produksi/Dana
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia
Jalan Utara, 46547 Petaling Jaya, Selangor.


 

ii) Semenanjung Malaysia 

(Dana Program TV/OTT)
Unit Sekretariat Dana Kandungan Digital,
Bahagian Pengurusan Produksi/Dana
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia
Jalan Utara, 46547 Petaling Jaya, Selangor.

 


iii) Sabah 

 Pejabat Perlesenan FINAS Cawangan Sabah
 No.84, Tingkat 5, Blok A
 Bangunan KWSP, Jalan Karamunsing
 88000 Kota Kinabalu, Sabah. - DagangNews.com