Oleh Prof. Madya Dr. Nor Shaipah Abdul Wahab
KRISIS COVID-19 telah menganjak pembangunan digital negara dan sejurusnya menyebabkan banyak perniagaan dan organisasi meningkatkan usaha digitalisasi mereka.
Pelbagai laporan mengenai impak anjakan digital terhadap jenama-jenama di Malaysia yang seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital negara yang signifikan. Terdapat juga laporan yang mengaitkan proses digitalisasi dengan peningkatan permintaan dalam e-dagang, e-dompet dan storan awan yang bertujuan untuk menaik taraf kualiti kehidupan kita.
Dalam menyokong pertumbuhan ekonomi digital Malaysia, Bank Negara telah melancarkan sebuah kerangka beserta 5 lesen perbankan digital pada tahun lalu. Ini membuktikan proses digitalisasi dan impaknya terhadap perniagaan akan terus meningkat.
Kerancakan pembangunan digitalisasi ini juga dapat dilihat menerusi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital), yang bakal melonjak ekonomi digital di Malaysia. Inisiatif ini juga diperkenalkan untuk mempercepatkan usaha negara dalam membangun sebagai ekonomi yang bertunjangkan kemajuan teknologi. Dengan lebih banyak sektor yang menyertai revolusi digital, maka kini tumpuan beralih ke sektor perakaunan dan bagaimana ia dapat bergerak seiring dengan arus inovasi teknologi.
Ketika Malaysia giat melangkah ke arah pembangunan digital, sektor perakaunan juga tidak tersisih daripada pengaruh teknologi yang menggantikan penggunaan peralatan analog dengan alat yang berciri digital.
Sektor kewangan tidak lagi dikekang oleh waktu kerja yang bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang, atau tugasan penyimpanan kira-kira yang konvensional kerana perkhidmatan teknologi kewangan atau Fintech seperti pembayaran mudah alih, e-dompet dan teknologi insurans telah mengubah landskap perkhidmatan kewangan di Malaysia.
Menurut Fintech Malaysia, wabak COVID-19 telah meningkatkan kadar penerimagunaan perbankan digital yang menyaksikan 3 juta pelanggan perbankan mudah alih pada tahun lalu yang berpunca daripada dorongan ke arah penggunaan e-dompet dan perkhidmatan digital.
Pengenalan teknologi seperti rantaian blok (blockchain) juga bakal menaik taraf kerjaya perakaunan melalui keupayaan untuk melindungi maklumat pelanggan dengan standard keselamatan yang tinggi. Sehubungan itu, isu-isu penipuan dan penyelewengan dapat dielakkan. Meskipun teknologi seperti ini masih baharu bagi sesetengah individu, rantaian blok mempunyai fungsi yang signifikan dalam bidang perakaunan kerana ia dapat memenuhi permintaan klien masa kini serta meluaskan lagi skop perkhidmatan yang dapat ditawarkan.
Untuk bergerak seiring dengan kepesatan ini berserta misi negara dalam memiliki daya saing di peringkat antarabangsa, sektor perakaunan perlu memanfaatkan teknologi-teknologi baharu seperti pengkomputeran awan, kecerdasan buatan, analitik data serta teknologi kognitif. Sebagai satu daripada inisiatif MyDigital, pihak kerajaan juga ingin memupuk pendekatan yang berteraskan digital untuk memastikan Malaysia memiliki kelebihan daya saing dan keupayaan untuk membuat keputusan yang tepat dalam industri masing-masing.
Kita sedang mara ke alaf yang baharu, dan sektor perakaunan juga perlu berbuat demikian dengan memanfaatkan teknologi-teknologi terkini yang bukan sahaja dapat meningkatkan tahap kecekapan, malah dapat meningkatkan produktiviti dengan keupayaan untuk memproses data dalam jumlah yang besar.
Golongan yang celik teknologi dan kewangan akan menentukan hala tuju sektor perakaunan kerana merekalah yang mampu menawarkan cerapan (insight) yang bernilai tinggi serta membantu mereka yang telah lama dalam industri untuk membuat keputusan berdasarkan data, analisis dan cerapan dalam tugas pengauditan, percukaian serta unit-unit lain yang tergolong dalam sektor perakaunan.
Para akauntan masa depan perlu mempunyai ilmu dan pengetahuan dalam aspek teknologi informasi kerana rantau Asia Pasifik mempunyai lebih daripada 6,000 perusahaan teknologi kewangan yang baharu. Graduan perakaunan masa hadapan perlu bersedia untuk menghadapi perubahan dalam sektor perakaunan di mana landskap teknologi kewangan global akan terus pesat membangun.
Malah, 82% daripada kalangan akauntan telah berkongsi bahawa klien mereka memerlukan perkhidmatan yang berkeupayaan untuk memerihalkan butiran kewangan mereka secara lebih terperinci.
Skop kerja para akauntan sekarang tidak lagi terhad kepada lejar perakaunan atau tugasan rumit yang konvensional. Bayaran dan invois yang dilakukan secara manual akan menjadi kenangan lalu dengan wujudnya teknologi perakaunan berasaskan awan, rantaian blok, serta solusi-solusi perisian perakaunan bagi menguruskan risiko dengan lebih baik serta menaik taraf kecekapan. Jelas sekali, teknologi kewangan akan terus memberi impak dalam bidang perakaunan melalui kebolehannya untuk menyediakan cerapan yang berkualiti tinggi.
Melalui teknologi kewangan terkini, akauntan dapat memberi impak yang besar dalam bisnes dan kehidupan klien selain memastikan keuntungan perniagaan. Teknologi kewangan membolehkan para akauntan kekal relevan, telus, di samping menawarkan perkhidmatan yang efektif dari segi kos.
Tuntasnya, sektor perakaunan di masa depan akan dipengaruhi dengan pembangunan teknologi kewangan. Maka, adakah kita bersedia? - DagangNews.com
Profesor Madya Dr. Nor Shaipah Abdul Wahab merupakan Pemangku Ketua Jurusan Perakaunan & Kewangan, Taylor’s Business School, di Faculty Business and Law, Taylor’s University. Taylor’s Business School merupakan sekolah pengajian perniagaan swasta yang terbaik di Malaysia, berdasarkan edisi QS Subject Rankings 2021.