Firma Jepun, NTT Data beli 58.73% saham GHL Systems berharga RM724 juta, cetuskan tawaran am | DagangNews Skip to main content

Firma Jepun, NTT Data beli 58.73% saham GHL Systems berharga RM724 juta, cetuskan tawaran am

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 28 Mei - Syarikat teknologi maklumat dan perunding Jepun NTT Data Corp telah membeli 58.73% kepentingan dalam firma perkhidmatan pembayaran GHL Systems Bhd pada harga RM724.08 juta.

 

Harga pemerolehan RM1.08 sesaham mewakili premium 6.9% kepada harga dagangan terakhir GHL sebanyak RM1.01 pada hari Isnin.

 

Di bawah undang-undang pengambilalihan Malaysia, NTT Data akan dikehendaki membuat tawaran am untuk memperoleh semua baki saham yang belum dimilikinya.

 

NTT Data tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian GHL dan akan menyahsenarai syarikat jika ia berjaya memperoleh lebih daripada 90% saham, menurut satu kenyataan.

 

NTT Data juga tidak akan mengambil langkah untuk menangani sebarang kekurangan dalam sebaran awam minimum jika ia mengawal lebih daripada 75% saham.

 

Berdasarkan jumlah 1.14 bilion saham yang diterbitkan, NTT Data perlu mengeluarkan RM508.74 juta lagi untuk mengawal sepenuhnya GHL.

 

Saham GHL telah melonjak 45% setakat tahun ini, hasil daripada peningkatan transaksi tanpa tunai di tengah-tengah perbelanjaan pengguna dan pelancongan yang kukuh di pasaran utamanya.

 

 

ghl

 

 

Selain daripada pasaran asalnya di Malaysia, syarikat itu juga memiliki perniagaan di Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura dan Australia dengan lebih 480,000 pusat pembayaran di seluruh rantau ini.

 

Tahun lepas, GHL mencatatkan untung bersih RM28.81 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 atas hasil RM460.37 juta.

 

NTT Data ialah anak syarikat Nippon Telegraph and Telephone Corp, gergasi telekomunikasi Jepun yang juga dikenali sebagai NTT, dan pada hari Isnin, ia menandatangani perjanjian untuk membeli 38.58% kepentingan dalam GHL daripada firma ekuiti swasta UK Actis dan 10.04% lagi daripada Apis Partners .

 

Actis melabur dalam GHL sejak 2017 manakala Apis, sebuah lagi firma ekuiti swasta yang berpangkalan di London, telah menjadi pemegang saham sejak 2018.

 

NTT Data juga membeli 4.77% dalam GHL daripada naib pengerusi semasanya Loh Wee Hian dan 5.34% daripada Tobikiri Capital Ltd yang juga dikawal oleh Loh. - DagangNews.com