Fitch Solutions : Perbelanjaan isi rumah akan menguncup 5% tahun ini | DagangNews Skip to main content

Fitch Solutions : Perbelanjaan isi rumah akan menguncup 5% tahun ini

Jualan runcit di Malaysia semakin perlahan sejak Jun 2022. - Gambar hiasan : Facebook Fama Kelantan

KUALA LUMPUR 19 Jan - Perbelanjaan isi rumah sebenar di Malaysia dijangka menguncup sebanyak 5% tahun ke tahun pada 2023 mencecah RM1.1 trilion, lebih perlahan daripada pertumbuhan 11.8% tahun ke tahun pada 2022.

 

Ini memandangkan kesan pemulihan semakin pudar dan pertumbuhan kembali kepada trajektori normal baharu menyamai angka sebelum pandemik COVID-19, demikian menurut Fitch Solutions.

 

Malah, agensi antarabangsa itu juga mendapati isi rumah dan perniagaan telah mula mengeluarkan simpanan mereka dengan ketara sejak April 2022.

 

"Oleh itu, lonjakan permintaan agregat yang memacu pertumbuhan pada 2022 tidak mungkin dapat dikekalkan sepanjang tahun ini. Tekanan inflasi yang berkurangan akan menyokong perbelanjaan pengguna. 

 

"Bagaimanapun, kemungkinan pengurangan skala subsidi dan kawalan harga oleh kerajaan yang baru dipilih akan memberi tekanan kepada corak perbelanjaan pengguna pada masa hadapan,” katanya dalam nota kajian hari ini seperti dilapor The Edge.

 

Namun begitu, menurutnya, keyakinan pengguna sebahagian besarnya adalah stabil, mencerminkan minda pengguna yang positif walaupun terdapat tekanan inflasi dalam komoditi tertentu seperti makanan dan bahan api yang membebankan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

 

Fitch Solutions memetik data suku keempat 2022 dengan purata keyakinan pengguna sekitar 100%, meningkat daripada purata 98.45% berbanding 2022.

 

Ia mendapati jualan runcit di Malaysia semakin perlahan sejak Jun 2022, walaupun kekal dalam wilayah positif, mencapai kadar 22.8% tahun ke tahun pada November 2022.

 

"Kelembapan ini disebabkan kesan asas akibat permintaan yang tertahan berikutan penarikan sekatan COVID-19. Inflasi, bagaimanapun, telah meningkat dalam tempoh yang sama," jelasnya.

 

Firma itu menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang 4% pada 2023, lebih perlahan daripada 8.4% yang diunjurkan pada 2022 berikutan penggunaan swasta dan permintaan domestik yang tinggi.
 

Menurutnya, inflasi utama kekal secara relatifnya tidak berbahaya di Malaysia, terutama disebabkan campur tangan kerajaan melalui subsidi dan kawalan harga, yang dijangka ditarik balik atau dikecilkan sepanjang 2023.

 

"Bagi mengekang inflasi, pakar ekonomi menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas tahun ini.

 

"Namun, peningkatan kos pembayaran hutang, hasil daripada peningkatan kadar faedah, mungkin memberi kesan kepada pertumbuhan," katanya. - DagangNews.com