FMM gesa kerajaan lebih tegas tangani isu tadbir urus HRD Corp | DagangNews Skip to main content

FMM gesa kerajaan lebih tegas tangani isu tadbir urus HRD Corp

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 Julai - Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa tindakan lebih tegas diambil bagi memperkasakan lagi tadbir urus Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).

 

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, beberapa penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 menunjukkan kepentingan meningkatkan akauntabiliti pengurusan dana HRD Corp dan pengawasan yang lebih ketat untuk memastikan pematuhan terhadap peruntukan Akta PSMB.

 

Katanya, HRD Corp merupakan agensi tunggal mengurskan dana pembangunan sumber manusia yang disumbangkan oleh majikan untuk pembangunan modal insan dan peningkatan pekerja mereka.

 

"Ketidakpuasan terhadap tadbir urus HRD Corp seperti yang ditekankan dalam laporan Ketua Audit Negara menunjukkan perubahan struktur yang lebih mendalam dalam HRD Corp diperlukan untuk meningkatkan ketelusan dan kecekapan organisasi serta untuk menangani kelemahan dan kesenjangan yang dikenal pasti dalam tadbir urus.

 

“Justeru, adalah penting untuk mekanisme audit dan pematuhan diperkukuhkan lagi bagi memastikan integriti kewangan dan penggunaan dana yang betul,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

FMM mewakili secara langsung lebih 12,000 syarikat pembuatan dan perkhidmatan perindustrian di Malaysia.

 

soh
SOH THIAN LAI - Gambar FMM

 

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 yang dibentangkan semalam menyerlahkan beberapa perkara berkaitan tadbir urus dan transaksi luar biasa yang termasuk pengeluaran yang mencurigakan, urus niaga hartanah yang meragukan dan pelaburan berisiko.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kementerian Sumber Manusia, HRD Corp buat laporan SPRM susulan penemuan Laporan Ketua Audit Negara - Steven Sim

 

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim telah mengarahkan satu laporan difailkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan pengeluaran laporan berkenaan.

 

Tambah Thian Lai, tindakan itu menunjukkan bahawa Steven "mengambil perkara itu dengan sangat serius ke arah menangani penemuan itu dengan teliti dan memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap HRD Corp.

 

Beliau juga mengakui bahawa HRD Corp telah mengambil langkah ke arah merombak pengurusan kewangannya.

 

Kajian semula menyeluruh terhadap Akta Dana Pembangunan Sumber Manusia juga perlu ditugaskan, termasuk kemungkinan pengasingan portfolio pelaburan dan memberi kuasa kepada lembaga untuk bersuara mengenai pelantikan ketua eksekutif organisasi itu.

 

"Juga diakui bahawa di bawah pimpinan YB Menteri sejak dilantik pada Disember 2023, HRD Corp telah mula mengambil langkah-langkah untuk mengubah suai pengurusan kewangan termasuk pemisahan akaun untuk memastikan bahawa yuran yang dikutip daripada majikan digunakan sepenuhnya untuk latihan dan bukan untuk tujuan lain," jelasnya. - DagangNews.com