Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Jan - Fraser & Neave Holdings Bhd. (F&NHB) giat membantu golongan kurang bernasib baik kerana ia merupakan sebahagian komitmen jangka masa panjang mereka.
Komitmen diteruskan melalui sumbangan barangan keperluan harian, baucar bernilai RM2,500 dan penjagaan diri kepada Pusat Jagaan Kanak-Kanak Shelter sempena sambutan perayaan Krismas baru-baru ini.
Pengarah Komunikasi Hal Ehwal Korporat dan Kelestarian F&NHB, Karen Tan berkata, sumbangan itu bertujuan bagi memberi keceriaan dan sedikit sebanyak meringankan beban mereka.
"Pertubuhan kebajikan itu merupakan tempat kanak-kanak yang didera, terabai dan berisiko. Pengurus pusat kebajikan itu menzahirkan penghargaan kepada F&NHB kerana menampung keperluan perbelanjaan sejak November tahun lepas dan bulan-bulan seterusnya," katanya dalam kenyataan.
F&NHB turut membantu Persatuan Sumber Harapan Sabah dengan menyumbang minuman dan peralatan pembelajaran kepada kanak-kanak yang memerlukan, terutama golongan B40.
Karen berkata, dengan ketidaktentuan ekonomi yang berterusan, ramai yang mengurangkan dan mengatur semula perbelanjaan mereka.
"Ini telah memberi kesan kepada organisasi-organisasi dan badan-badan amal yang bergantung kepada derma orang ramai. Kami gembira dapat menyumbang kepada mereka dalam usaha menyokong komuniti setempat terutama pada detik sukar ini," katanya.
Karen berkata, sebagai sebuah organisasi yang telah menjadi sebahagian kehidupan seharian rakyat Malaysia sejak 138 tahun lalu, F&NHB bertekad memberi kembali kepada komuniti, selain mengukuhkan hubungan berbilang budaya, melalui beberapa program jangka pendek dan jangka panjang.
Dalam perkembangan sama, F&NHB telah menghulurkan sokongan terhadap barisan hadapan negara dan komuniti sejak permulaan pandemik COVID-19.
Sehingga kini, lebih dua juta produk telah diedarkan secara langsung atau melalui kumpulan-kumpulan komuniti kepada para penerima manfaat di seluruh negara, termasuk organisasi-organisasi seperti Free Food Society, Pertubuhan Kebajikan Oasis Harapan, Street Feeders of KL dan lain-lain.
F&NHB turut melengkapkan tiga sudut IT di Montfort Boys Town di Shah Alam, Selangor dan Pusat Belia Montfort di Melaka.
Bagi mempertingkatkan dan memperakui kecekapan pelajar dalam penggunaan komputer dan alatan digital, F&NHB menaja program vokasional Lesen Memandu Komputer Antarabangsa (ICDL) sejak 2011.
Sehingga kini, seramai 585 pelajar telah menamatkan pengajian dalam program ini dan secara keseluruhan, F&NHB melabur sejumlah RM200,000 untuk program ICDL. - DagangNews.com