Foodpanda, PolicyStreet jalin kerjasama sedia perlindungan insurans tambahan kepada rakan penghantar B40 | DagangNews Skip to main content

Foodpanda, PolicyStreet jalin kerjasama sedia perlindungan insurans tambahan kepada rakan penghantar B40

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Dis - Foodpanda Malaysia bekerjasama dengan PolicyStreet dalam menyediakan perlindungan insurans hayat yang disediakan oleh MCIS kepada semua rakan penghantar daripada golongan B40 yang berkelayakan.

 

Mereka yang akan mendapat perlindungan itu terdiri daripada mereka dengan pendapatan isi rumah bulanan RM5,000 ke bawah atau individu berpendapatan RM2,500 ke bawah.

 

Pengarah Operasi foodpanda Malaysia, Kelvin Chan berkata, perlindungan insurans hayat yang diperkenalkan itu adalah tanda komitmen berterusan foodpanda terhadap kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakan penghantar mereka. 

 

"Kami berbesar hati kerana dapat merealisasikannya dengan bekerjasama bersama PolicyStreet dan berharap dapat memberikan perlindungan tambahan yang lebih komprehensif kepada rakan penghantar kami sepanjang tempoh mereka bekerja.

 

"Perlindungan insurans hayat adalah pelengkap dan ia diberikan secara percuma kepada rakan penghantar yang layak selama 12 bulan. 

 

"Selain itu, perlindungan insurans ini didaftarkan secara automatik untuk rakan penghantar yang layak mendapatkan perlindungan segera," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

 

panda

 

Menerusi insurans hayat tambahan itu, rakan penghantar yang layak akan menerima manfaat tambahan sebanyak RM25,000 untuk kematian akibat kemalangan dan RM5,000 untuk kematian semula jadi.

 

Buat masa ini, kesemua rakan penghantar foodpanda telah diinsuranskan sebanyak RM100,000 untuk kematian akibat kemalangan tetapi dengan perlindungan baharu, semua rakan penghantar yang layak kini dilindungi sebanyak RM125,000.

 

pandas

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PolicyStreet, Yen Ming berkata, pihaknya akan terus berusaha untuk terus bekerjasama dan memperkenalkan manfaat insurans yang memberikan perlindungan terbaik kepada rakan penghantar. 

 

"Kejayaan kerjasama sebelum ini membuatkan kami ingin untuk terus bekerjasama dengan foodpanda dalam menjadi rakan kongsi insurans rasmi mereka.

 

pandass

 

"Kami berharap dapat terus memainkan peranan dalam menyediakan perkhidmatan terbaik dan boleh dipercayai  kepada mereka pada masa akan datang," katanya. - DagangNews.com