Forum Ekonomi Kreatif 2021 ‘laluan’ pengukuhan KDNK Malaysia | DagangNews Skip to main content

Forum Ekonomi Kreatif 2021 ‘laluan’ pengukuhan KDNK Malaysia

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Okt. - Sektor ekonomi kreatif dijangka menyumbang kira-kira 10% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang beberapa tahun mendatang.

Menurut Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai laporan Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) 2018, ekonomi kreatif merupakan sektor paling pantas berkembang dalam ekonomi dunia dengan penjanaan hasil tahunan sebanyak RM 9.34 trilion dan eksport global berjumlah lebih RM1.04 trilion.

Melihatkan potensi berkenaan, MyCreative Ventures, CENDANA dan RIUH buat julung kalinya menganjurkan Forum Ekonomi Kreatif 2021: Industri Kreatif, Seni dan Budaya, diberi nafas baharu yang dipancarkan secara dalam talian baru-baru ini. 

Forum yang diadakan sempena Belanjawan 2021 itu mencerminkan kesinambungan langkah konsultatif kerajaan melalui penyediaan peluang kepada industri kreatif untuk berkongsi input dan maklum balas mereka. 

 

Mohd. Naguib Razak
Mohd. Naguib Razak

 

Mengulas mengenai forum berkenaan, Pengerusi MyCreative, Mohd. Naguib Razak mewakili pihaknya berhasrat dan ingin memainkan peranan melangkah ke hadapan untuk memangkin peningkatan usaha sama dalam kalangan penggiat seni dan para pengamal kreatif lain di pelbagai industri kreatif, seni dan budaya.

“Walaupun COVID-19 terus mengancam kesihatan awam serta menjejaskan sumber ekonomi dan kerajaan, namun kita yakin masanya sudah tiba untuk menggembleng buah fikiran dan usaha serta menggunakan langkah-langkah baharu untuk meraih peluang yang ada, termasuk yang ditawarkan oleh pendigitalan.

“Saya berharap forum ini akan meniup semangat semua pihak yang terlibat dalam ekosistem kreatif di Malaysia untuk bergabung dan berhubung antara satu sama lain serta bertukar wawasan dan perpektif,” katanya dalam satu kenyataan. 

Forum tersebut adalah satu daripada dua bahagian acara yang diwujudkan sebagai platform untuk menggalakkan perkongsian dan usaha yang telah berjaya mengumpulkan semua pihak berkepentingan, kementerian-kementerian berkaitan, sektor swasta serta aktivis dan pengamal kreatif, seni dan budaya.

 

MyCreative

 

Turut menampilkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menyampaikan ucaptama beliau bertajuk “Membayangkan Ekonomi Kreatif yang Berjaya, Saling Bekerjasama dan Mampan untuk Malaysia”. 

Bahagian kedua forum tersebut yang bertajuk Forum Ekonomi Kreatif 2021: Tumpuan terhadap Seni dan Budaya dijadual akan diadakan pada 20 Oktober 2020. - DagangNews.com