G Neptune dapat kelulusan pemegang saham laksana pelan penyusunan semula | DagangNews Skip to main content

G Neptune dapat kelulusan pemegang saham laksana pelan penyusunan semula

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Sept - Para pemegang saham tidak berkepentingan G Neptune Bhd. (GNB) telah meluluskan cadangan pelan penyusunan syarikat terutama pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Southern Score Sdn Bhd daripada Super Advantage Property Sdn Bhd untuk pertimbangan pembelian sebanyak RM252 juta dilaksanakan secara terbitan 1.68 bilion saham.

 

Kelulusan yang diperoleh semasa mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan hari ini dijangka menangani status Nota Panduan 3 (GN3) syarikat serta mengembalikannya kepada kedudukan kewangan yang lebih kukuh dan mencatat keuntungan.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Southern Score, Gan Yee Hin berkata, dengan suntikan Southern Score, G Neptune mampu berada dalam kedudukan kewangan dan keuntungan yang lebih kukuh, sekali gus memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan.

 

Katanya, kelulusan pemegang saham yang diperoleh hari ini menandakan permulaan baharu untuk Southern Score apabila syarikat semakin hampir ke arah mendapatkan status penyenaraian melalui GNB. 

 

"Kami berhasrat untuk memanfaatkan status penyenaraian kami untuk mengembangkan lagi perniagaan yang mana pemegang saham kami juga boleh mengambil bahagian. 

 

"Dalam hal ini, kami menjangkakan pertumbuhan Southern Score akan didorong daripada pertumbuhan dalam sektor pembinaan di mana aktiviti pembinaan dijangka meningkat seiring dengan ekonomi pertumbuhan berikutan pembukaan semula ekonomi dan sempadan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Gan Yee Hin
Gan Yee Hin

 

 

Southern Score ialah syarikat perkhidmatan pengurusan pembinaan yang mencatatkan keuntungan bersih masing-masing sebanyak RM6.51 juta, RM19.2 juta dan RM35.18 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, 2020 dan 2021. 

 

Super Advantage, sebagai vendor Southern Score, telah menyediakan jaminan keuntungan bersih terkumpul sebanyak RM80 juta dalam tempoh tiga tahun dari 2022 hingga 2024. 

 

Kepentingan syarikat ini dipegang oleh Tan Sri Datuk Seri Gan Yu Chai, Pengarah Urusan Southern Score, seorang veteran dalam industri pembinaan dan pembangunan hartanah dengan pengalaman lebih 30 tahun serta Yee Hin.

 

Selain itu, pada mesyuarat itu juga, pemegang saham juga meluluskan untuk menukar nama syarikat kepada Southern Score Builders Bhd. - satu langkah yang diambil untuk lebih mencerminkan identiti korporat baharu G Neptune pada masa hadapan.

 

Pemegang saham juga meluluskan cadangan penyatuan setiap 10 saham G Neptune sedia ada menjadi satu saham, penyelesaian hutang berjumlah RM3.1 juta kepada Chai Tham Poh, Pengarah Eksekutif G Neptune, melalui terbitan 20.67 juta saham.

 

Turut diluluskan termasuklah cadangan penempatan persendirian untuk mengumpul sekurang-kurangnya RM108.6 juta melalui terbitan 543.05 juta saham kepada pelabur yang akan dikenal pasti kemudian dan
pengecualian daripada obligasi untuk melaksanakan tawaran pengambilalihan mandatori bagi baki saham G Neptune yang belum dimiliki oleh Super Advantage serta Yu Chai dan Yee Hin.

 

Kenanga Investment Bank Bhd. adalah penasihat utama dan penaja untuk cadangan pelan penyusunan semula serta ejen penempatan untuk cadangan penempatan persendirian manakala Malacca Securities Sdn Bhd adalah penasihat bebas untuk pengecualian yang dicadangkan. - DagangNews.com