Gabungan Pusat Penyelidikan Bioteknologi Malaysia ditubuhkan bagi perkasa ekosistem bioteknologi - PM | DagangNews Skip to main content

Gabungan Pusat Penyelidikan Bioteknologi Malaysia ditubuhkan bagi perkasa ekosistem bioteknologi - PM

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Sept - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penubuhan Gabungan Pusat Penyelidikan Bioteknologi Malaysia yang melibatkan semua institusi dan institut penyelidikan berasaskan bioteknologi, yang mengendalikan dan mengemudi penyelidikan, berdasarkan permintaan industri serta kepentingan strategik negara.

 

Ismail Sabri berkata, satu badan penasihat pakar bioteknologi akan diwujudkan menerusi gabungan itu, bagi menggerakkan genda negara dengan lebih berfokus dan berasaskan kekuatan negara, seperti mendalami kekayaan biodiversiti negara yang boleh memperkasakan tiga sektor bioteknologi seperti yang termaktub dalam Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0).

 

"Gabungan ini berperanan untuk, pertama, menentukan hala tuju strategik dan memperkasakan ekosistem bioteknologi berorientasikan kepada pulangan nilai (RoV), kebaikan awam dan kesejahteraan masyarakat.

 

"Kedua, menyokong impak, pasaran dan permintaan yang didorong penyelidikan dan pembangunan (R&D)  bioteknologi yang memfokuskan kepada pembangunan eksperimen.

 

"Ketiga, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Malaysia Science Endowment akan bekerjasama dengan pemain industri, badan tempatan dan antarabangsa untuk mewujudkan dana alternatif bioteknologi," katanya ketika berucap merasmikan DBN 2.0 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

 

Menurut Perdana Menteri, MOSTI juga ketika ini sedang dalam perancangan untuk menjalankan Projek MyGenom, yang melibatkan 10,000 hingga 100,000 sampel manusia di Malaysia.

 

Beliau berkata, objektif projek ini adalah untuk menghasilkan genom rujukan bagi kepelbagaian populasi dan etnik Keluarga Malaysia, mencirikan variasi genetik rakyat dan menghimpunkan data genom dalam perubatan diagnostik dan pencegahan.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

"Baru-baru ini MOSTI dan Kementerian Kewangan telah mengadakan sesi konsultasi dan MOSTI telah memohon peruntukan bagi menggalakkan perkembangan syarikat-syarikat tempatan dalam industri bioteknologi menerusi program Bio-based Accelerator (BBA) yang telah dilaksanakan oleh Bioeconomy Corporation.

 

 

"Ini amat signifikan memandangkan MOSTI mempunyai ekosistem yang kondusif bagi menyokong pembangunan industri bioteknologi negara untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan amat berbangga kerana Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai salah satu daripada 17 buah negara megadiversity berikutan terdapat sekurang-kurangnya 5,000 tumbuh-tumbuhan indigenous serta memiliki ekosistem marinnya sendiri.

 

"Kekayaan biodiversiti negara ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi melonjakkan ekonomi negara melalui pemerkasaan sektor bioteknologi. Bagi menyokong komitmen ini, kerajaan telah memberi aspirasi baharu menerusi penggubalan DBN 2.0 untuk tempoh sehingga 2030.

 

 

"DBN 2.0 menambah baik strategi-strategi dalam Dasar Bioteknologi Negara yang terdahulu selaras dengan perkembangan trend di peringkat global. DBN 2.0 juga akan memastikan bidang bioteknologi berkembang pesat dan maju selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

 

"Dasar ini juga akan memperkukuhkan ekosistem bioteknologi sedia ada serta menjadi katalis dalam menyelesaikan cabaran negara berkaitan sekuriti makanan, pengurusan pandemik dan krisis perubahan iklim menerusi kaedah penyelesaian bioteknologi tempatan," katanya.

 

 

Beliau berkata, bagi memperkasakan sektor bioteknologi, DBN 2.0 akan memberi tumpuan kepada tiga tunjang utama, iaitu pertama, Bioteknologi Pertanian dan Jaminan Makanan, kedua Penjagaan Kesihatan dan Kesejahteraan, serta ketiga, Bioteknologi Perindustrian dan Ekonomi Kitaran.

 

Beliau berkata, selaras dengan bidang tumpuan bioteknologi pertanian dan jaminan makanan, usaha kerajaan akan dipertingkatkan dalam menggunakan sumber asli tempatan secara mampan untuk input pertanian, ternakan dan hasil marin, serta akuakultur bernilai tinggi.

 

"Ekosistem makanan masa depan dan produk bernilai tinggi dengan menggunakan teknologi baharu dan terkini akan dibangunkan, seperti superfood dan penghasilan makanan baharu yang lebih lestari. Bioteknologi turut memainkan peranan penting bagi sekuriti kesihatan negara untuk mengatasi penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit," katanya.

 

Katanya, DBN 2.0 bakal memacu momentum yang telah digariskan di bawah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 untuk mentransformasikan Malaysia daripada negara pengguna teknologi kepada negara pembangun teknologi.

 

"MOSTI akan terus menjalin kerjasama erat semua pihak berkepentingan yang terdiri daripada kementerian dan agensi kerajaan serta pihak industri berasaskan bio dan masyarakat bagi menjayakan sasaran-sasaran utama DBN. Lima sasaran utama DBN 2.0 adalah pertama, 30% syarikat Bionexus ke peringkat global dan 70% syarikat Bionexus peringkat tempatan kekal aktif.

 

"Kedua, sokongan kepada syarikat-syarikat Bionexus yang berpotensi untuk menjadi syarikat berstatus unicorn. Kerajaan dalam konteks ini mensasarkan 3 syarikat bio-inovasi berstatus unicorn menjelang 2030. Ketiga, pemerkasaan institut dan institusi serta tokoh penyelidik bioteknologi tempatan bertaraf dunia.

 

"Keempat, 5% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) oleh syarikat-syarikat bioteknologi dan kelima, 80% graduan bioteknologi yang diiktiraf melalui program pentauliahan mikro dan 20% graduan bioteknologi dalam program pasca siswazah," katanya.

 

Beliau berkata, antara cabaran dan kekangan yang dihadapi negara ketika ini adalah kekurangan modal atau pembiayaan susulan untuk pengkomersialan serta kekurangan bakat dalam kepakaran khusus.

 

Bagaimanapun katanya, segala permasalahan ini mampu ditangani jika semua pihak berkepentingan menggembleng tenaga untuk menyokong ekosistem bioteknologi negara termasuklah menyediakan persekitaran yang kondusif agar dapat menambah jumlah kepakaran penyelidik tempatan bertaraf antarabangsa.

 

"Pengukuhan dan pemerkasaan ekosistem bioteknologi negara ini perlu dilaksanakan seiring dengan transformasi strategi dan tadbir urus dasar yang telah dikenal pasti dalam DBN 2.0. 

 

"Justeru, saya menggesa peranan aktif semua pihak termasuk, satu, Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd sebagai pemudahcara industri perlu menambah baik Bionexus Bill of Guarantees yang merangkumi keistimewaan status Bionexus agar lebih berdaya saing di peringkat global dan insentif yang ditawarkan juga perlu lebih menarik.

 

"Dua, National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) perlu memperkukuhkan fasiliti makmal R&D dan perkhidmatan yang mendapat akreditasi di peringkat antarabangsa bagi meningkatkan kolaborasi dengan institut penyelidikan serta universiti tempatan dan antarabangsa, dan pemain-pemain industri.

 

"Tiga, syarikat modal teroka (VC) tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga digalakkan untuk melabur dalam syarikat bioteknologi tempatan bagi memastikan pertumbuhan dan pembangunan bioteknologi negara dapat menembusi pasaran antarabangsa.

 

"Empat, bank-bank komersial juga diminta agar memudahcara pembiayaan kepada syarikat-syarikat bioteknologi tempatan yang berdaya saing termasuk mengambil kira nilai hak harta intelek sebagai aset yang bernilai," katanya. - DagangNews.com