Gading Aerospace dapat kontrak bekalkan empat helikopter AW189 kepada APMM | DagangNews Skip to main content

Gading Aerospace dapat kontrak bekalkan empat helikopter AW189 kepada APMM

Helikopter AW189 jenis sama yang bakal diterima APMM.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 24 Jan - Keupayaan udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dipertingkatkan apabila kerajaan bersetuju membeli empat buah helikopter baharu bagi kegunaan pasukan tersebut.

 

Empat buah helikopter saiz sederhana (medium lift) jenis AW189 buatan firma Leonardo dari Itali dipilih berdasarkan kesesuaian serta fungsi yang bakal dilaksanakan.

 

Kontrak ini telah dianugerahkan kepada syarikat Galaxy Aerospace (M) Sdn. Bhd. (Galaxy Aerospace) yang berjaya untuk melaksanakan perolehan empat buah helikopter tersebut.

 

Gading Aerospace merupakan anak syarikat Gading Berhad yang turut menerajui beberapa syarikat dalam bidang aeroangkasa, maritim dan pertahanan.

 

Helikopter
Helikopter AW189 direka bagi melaksanakan operasi SAR dan bantuan kecemasan.

 

Perolehan ini telah dilaksanakan oleh Bahagian Perolehan Kementerian Dalam Negeri pada tahun 2022. 

 

Bagaimana pun, nilai keseluruhan perolehan tidak dinyatakan.

 

Menerusi kontrak ini, pihak Galaxy Aerospace akan membekalkan pesawat lengkap dengan kelengkapan peralatan misi untuk menyokong operasi APMM.

 

Pesawat dengan berat sehingga 8.6 tan ini dilengkapi dengan enjin Safran Aneto-1K baharu serta berkeupayaan melaksanakan penerbangan selaju 294km/sejam.

 

Helikopter
Helikopter Dauphin APMM.

 

AW189 direka dengan kemampuan operasi jarak jauh, terbang dalam sebarang keadaan cuaca khususnya untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat serta pemindahan pesakit.

 

Ia dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan untuk melaksanakan misi-misi yang mencabar.

 

Helikopter AW189 turut digunakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

 

Ketika ini, APMM mengoperasikan enam buah helikopter iaitu masing-masing tiga jenis AW139 dan AS365 Douphin selain dua pesawat amfibia Bombardier CL-415.

 

Helikopter
Ruji (tengah) dan Hamid (kiri) bersama wakil syarikat selepas majlis penyerahan surat setuju terima perolehan helikopter AW189.

 

Terdahulu, majlis penyerahan surat setuju terima bagi perolehan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi di KDN.

 

Turut hadir Ketua Pengarah APMM, Laksamana (M) Datuk Hamid Mohd Amin dan wakil syarikat. - DagangNews.com