Gagal capai persetujuan, Lebtech dan Global Marine tamat subkontrak bernilai RM55 juta bagi projek tebus guna pantai di Pekan | DagangNews Skip to main content

Gagal capai persetujuan, Lebtech dan Global Marine tamat subkontrak bernilai RM55 juta bagi projek tebus guna pantai di Pekan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Julai - Lebtech Berhad gagal mencapai persetujuan dengan Global Marine Sdn. Bhd. menyebabkan sub kontrak bernilai RM55.3 juta melibatkan tebus guna dan perlindungan pantai di Kampung Tanjung Batu Nenasi, Pekan, Pahang ditamatkan secara bersama.

 

Kumpulan itu berkata, mereka tidak dapat memenuhi terma dan syarat yang ditetapkan di dalam perjanjian muktamad untuk projek itu.

 

"Atas dasar itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan Surat Anugerah yang dikeluarkan oleh Global Marine Contractor kepada Lebtech Construction Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat milik penuh Lebtech," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Global Marine dianugerahkan sub-kontrak projek itu oleh Vista Infinity Development Sdn. Bhd., yang memperoleh projek itu daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

 

Kontrak itu seharusnya siap dalam tempoh 33 bulan.

 

Untuk FY22, Lebtech melaporkan untung bersih RM74,000, turun 77% daripada RM326,000 pada FY21, apabila hasil menurun 23.4% kepada RM20.17 juta daripada RM26.33 juta, memandangkan projek pembinaan kumpulan itu berada di peringkat akhir penyiapan.

 

Pada April lalu, juruaudit luar kumpulan itu telah menimbulkan keraguan mengenai keupayaan mereka untuk meneruskan usaha berkaitan aktiviti perniagaannya semasa FY22.

 

Juruaudit, Al Jafree Salihin Kuzaimi PLT menyatakan kesemuanya diperoleh daripada pihak berkaitan, manakala 98% daripada perdagangan dan penghutang lain adalah terhutang daripada pihak berkaitan.

 

“Ini secara tidak sengaja telah meningkatkan pendedahan kepada risiko kredit dan risiko berterusan,” kata juruaudit itu dalam laporan yang difailkan kepada Bursa Malaysia oleh Lebtech.

 

Selepas itu, Lebtech mengumumkan pada 3 Julai lalu bahawa lembaga pengarahnya telah meluluskan pertukaran juruauditnya daripada Al Jafree Salihin Kuzaimi kepada Jamal, Amin & Partners. - DagangNews.com