Gamuda Land jalin kerjasama dengan Digital Nasional ke arah membangunkan bandar pintar menerusi liputan 5G | DagangNews Skip to main content

Gamuda Land jalin kerjasama dengan Digital Nasional ke arah membangunkan bandar pintar menerusi liputan 5G

Ahmad Zaki Zahid (dua dari kanan) bersama Chu Wai Lune dan Jess Teng pada majlis menandatangani MoU antara Gamuda Land dan DNB hari ini.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 6 Feb - Gamuda Land menjalinkan kerjasama dengan Digital Nasional Berhad (DNB) ke arah menggerakkan pembangunan bandar pintar menerusi inovasi liputan 5G di perbandaran yang dibangunkan syarikat itu di Selangor.

 

Ini melibatkan projek perbandaran Gamuda Cove di Kuala Langat, Gamuda Gardens di utara Sungai Buloh dan twentyfive7 di selatan Kota Kemuning.

 

Kerjasama itu juga menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju untuk terlibat memperluaskan infrastruktur dan liputan 5G di samping memperbanyakkan aktiviti pertukaran pengetahuan dan kerjasama pada masa hadapan. 

 

Pada majlis tandatangan MoU hari ini, Gamuda Land diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chu Wai Lune manakala DNB diwakili Ketua Pegawai Strateginya, Datuk Ahmad Zaki Zahid.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi bagi Operasi Strategik Gamuda Land, Jess Teng berkata, sebagai pemaju, perancangan infrastruktur strategik adalah penting untuk memastikan perbandaran yang dibangunkan kalis masa hadapan. 

 

Justeru katanya, menyedari peranan penting teknologi 5G, perkongsian strategik dengan DNB menjadi pemangkin untuk merealisasikan visi bandar pintar Gamuda Land. 

 

"Kami bercita-cita mencipta perbandaran yang mempunyai jaringan perhubungan dan inovatif dengan memanfaatkan liputan 5G," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Menurut Jess, intipati bandar pintar terletak pada keupayaannya untuk menghubungkan pelbagai fungsi bandar dengan lancar daripada pengurusan trafik dan sistem tenaga kepada pelupusan sisa. 

 

"Penyepaduan fungsi ini memanfaatkan data untuk memperkayakan perkhidmatan, meningkatkan kualiti hidup dan menggalakkan kelestarian alam sekitar," ujarnya.

 

Ketua Pegawai Strategi DNB, Datuk Ahmad Zaki Zahid pula berkata, 5G tidak dapat dinafikan adalah kunci masa depan kepada sesebuah bandar pintar.

 

Justeru, beliau berharap DNB dapat menyokong aspirasi perbandaran pintar yang dihasratkan Gamuda Land.

 

“Sehingga akhir Disember 2023, Malaysia telah merekodkan 8.2 juta langganan perkhidmatan 5G, mewakili kadar penggunaan sebanyak 24.7 peratus. 

 

"Kami juga teruja melihat sektor perniagaan yang telah mula meneroka peluang daripada perkhidmatan 5G," jelasnya.
- DagangNews.com