Gangguan bekalan baja global, dorong kenaikan ASP ammonia, urea ke paras teringgi | DagangNews Skip to main content

Gangguan bekalan baja global, dorong kenaikan ASP ammonia, urea ke paras teringgi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 April - Gangguan bekalan baja di peringkat global menjadi pendorong kepada kenaikan harga jualan purata (ASP) ammonia dan urea ke paras tertinggi pada Mac 2022.

 

Maybank Investment Bank berkata, akibat bekalan yang terhad pada 4Q21, ASP bagi ammonia dan urea pada 1Q22 berada pada purata AS$842 (RM3,558) (+16% dari suku ke suku) dan AS$960 (RM4,057) (+21% dari suku ke suku) akibat krisis Rusia-Ukraine.

 

"Akibat konflik berkenaan, harga bagi kedua-dua komoditi melonjak pada kadar yang sangat tinggi iaitu 78% dan 75% dari tahun ke tahun terutama dalam tiga bulan pertama 2022.

 

"Konflik berkenaan juga memberi kesan kenaikan (tidak begitu ketara) kepada ASP produk keluaran Petronas Chemicals antara 2% hingga 37% didorong oleh kenaikan harga minyak," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, konflik yang tercetus antara Rusia dan Ukraine pada penghujung Februari lalu telah memaksa penutupan saluran paip ammonia Togliatti-Odessa yang memberi kesan pengurangan bekalan global antara 10% hingga 15%.

 

Ia juga menjadi punca kepada peningkatan harga gas asli (menyumbang kepada 75% hingga 90% kos pembuatan), pengeluaran di loji baja Euro tidak dapat dilaksanakan selepas  Nitrogenmuvek, Borealis AG dan Yara mengumumkan penutupan sementara pada bulan Mac.

 

"Apabila Yara ditutup pada 4Q21, Petronas Chemicals meraih keuntungan hasil daripada dagangan daripada Asia Tenggara kepada pelanggan premium di Euro dan senario sama dijangka berlaku pada 2Q22," katanya.

 

Selepas mengambil kira faktor kekurangan bekalan baja di pasaran global dan peningkatan ASP dalam semua produk, firma itu menyemak naik unjuran pendapatan Petronas Chemicals untk FY22-24E sebanyak 12%/6%/5%.

 

"Kami menjangkakan bekalan terutama dalam segmen baja akan terus terganggu sehingga 4Q22 dan ia dilihat akan memberi manfaat kepada Petronas Chemicals berdasarkan kepada rekod cemerlang mereka dari segi operasi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' untuk saham Petronas Chemicals pada harga harga sasaran (TP) RM11.20 berbanding RM11.00," katanya. - DagangNews.com