Gas Malaysia tiada pemangkin kukuh dalam tempoh terdekat, harga gas domestik diunjur turun sehingga 10% tahun ini | DagangNews Skip to main content

Gas Malaysia tiada pemangkin kukuh dalam tempoh terdekat, harga gas domestik diunjur turun sehingga 10% tahun ini

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Feb - Gas Malaysia Berhad tidak mempunyai pemangkin penarafan semula yang kukuh dalam tempoh terdekat, namun hasil dividen lebih 6% sepatutnya memberikan sedikit sokongan, pada pandangan Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan harga gas domestik menurun sebanyak 5% hingga 10% tahun ke tahun pada 2024, kuantum yang lebih kecil 10% berbanding jangkaan firma sebelum ini.

 

Menurut firma itu, harga gas domestik (Harga Rujukan Malaysia Petronas, MRP) di belakang harga minyak mentah (Brent) selama enam hingga tujuh bulan. 

 

“Berikutan trajektori harga Brent sejak awal 2023, kami menjangkakan trend purata harga gas domestik lebih rendah suku ke suku, kira-kira 5% pada suku keempat 2023 namun lebih tinggi kira-kira 11% pada separuh pertama tahun ini berbanding separuh kedua 2023,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Di samping itu, Maybank IB berpendapat bahawa keuntungan runcit Gas Malaysia adalah berdasarkan peratusan yang tidak didedahkan (anggaran firma pada 5%) daripada kos gasnya, justeru sepatutnya mengikut trend harga gas domestik. 

 

“Kami percaya nilai saham kumpulan akan mencapai paras terendah pada FY23, setelah mencatatkan pertumbuhan suku ke suku pada 3Q23 (yang pertama sejak akhir 2021). 

 

“Kami menjangkakan nilai kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 2% pada FY24-25. Hanya segmen runcit menanggung risiko nilai, manakala segmen pengedaran (saluran paip) berjalan berdasarkan model hasil-permodalan,” tambahnya.

 

Maybank IB menurunkan unjuran keuntungan bersih Gas Malaysia bagi FY23 sebanyak 3%, manakala bagi FY24 dan 25 dinaikkan 4% setiap satu berikutan semakan pada harga jualan dan andaian tebaran. 

 

Ia mengekalkan saranan ‘pegang’ terhadap kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) dinaikkan 6% kepada RM3.40 daripada RM3.20 sebelum ini.

 

Secara relatifnya, Gas Malaysia kekal sebagai pilihan utama Maybank IB dalam kalangan syarikat utiliti gas.
Setakat pukul 11:04 pagi ini, saham Gas Malaysia kekal pada RM3.39 dengan permodalan pasaran bernilai RM4.35 bilion.  - DagangNews.com