GCFO Sime Darby, Mustamir Mohamad dilantik sebagai Presiden dan CEO UMW Holdings | DagangNews Skip to main content

GCFO Sime Darby, Mustamir Mohamad dilantik sebagai Presiden dan CEO UMW Holdings

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Dis - Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (GCFO) Sime Darby Berhad, Mustamir Mohamad diumumkan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UMW Holdings Berhad yang baharu, selepas Sime Darby melengkapkan pembelian 61.2% kepentingan dalam UMW Holdings. 

 

Perpindahan Mustamir ke UMW Holdings menyaksikan CFO Sime Darby Motor, Muhammad Noor Abd Aziz mengambil alih peranan GCFO di Sime Darby.

 

Perubahan dalam pemilikan telah mendorong perubahan dalam komposisi lembaga pengarah UMW.

 

Syarikat itu menjangkakan pertambahan ahli baharu, termasuk Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Sime Darby, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson dan Mustamir Mohamad.

 

UMW Holdings dalam satu kenyataan berkata, ia yakin dengan kebolehan Mustamir, memandangkan peranannya sebelum ini sebagai GCFO Sime Darby dan mengharapkan beliau membawa pengalaman dan kepimpinan yang berharga kepada organisasi.

 

Sementara itu, Mustamir sangat berbesar hati untuk memimpin UMW dalam fasa penting ini bersama Sime Darby.

 

"UMW merupakan nama penting dalam sektor automotif Malaysia dan kami menyasarkan untuk memanfaatkan asas kukuhnya. 

 

"Dengan memanfaatkan rangkaian pengedaran dan pengaruh serantau Sime Darby, kami merancang meneroka peluang perniagaan baharu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Pelantikan Mustamir menyaksikan, Megat Shahrul Azmir kembali menjawat jawatan Presiden Bahagian Peralatan UMW.

 

Berikutan selesainya pengambilalihan pegangan majoriti UMW daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB), Sime Darby akan memulakan Tawaran Am Mandatori bagi baki saham UMW yang tidak dimilikinya, dengan tujuan menyahsenarai UMW daripada Bursa Malaysia. - DagangNews.com