KUALA LUMPUR 14 Julai - GDEX Bhd (GDEX) mengaktifkan Pelan Mitigasi Keselamatan dan Pemulihan Data berikutan berlaku pencerobohan keselamatan siber terhadap pelayan kewangannya baru-baru ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Teong Teck Lean berkata, berdasarkan siasatan sejak kejadian itu berlaku, tiada petunjuk mengenai kebocoran maklumat sulit, termasuk data pelanggan.
"Kami sentiasa memandang serius mengenai keselamatan siber dengan membuat pelaburan besar dalam peralatan dan penyelesaian yang diperlukan.
"Walaupun pelbagai langkah dan prosedur keselamatan sudah dilaksanakan, namun kami tetap tidak dapat mengelak daripada menjadi mangsa kejadian," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, semua sistem dapat beroperasi tanpa sebarang gangguan memandangkan insiden yang berlaku adalah terasing dan khusus membabitkan satu pelayan tertentu dalam sistemnya.
"Saya ingin memberi jaminan kepada pelanggan bahawa data mereka selamat dan terjamin.
"Pada masa sama, kami sedang mengambil tindakan segera dan sewajarnya untuk memperkuatkan lagi pemeriksaan keselamatan dan langkah-langkah keselamatan yang ada untuk melindungi daripada pencerobohan keselamatan siber pada masa akan datang," katanya. - DagangNews.com