Gelombang prasarana di Sarawak, syarikat pembinaan raih manfaat besar - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Gelombang prasarana di Sarawak, syarikat pembinaan raih manfaat besar - RHB Investment

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 Feb - Syarikat pembinaan bakal meraih manfaat daripada gelombang prasarana di Sarawak yang menyaksikan kenaikan nilai projek pembinaan berterusan sejak 2017 kecuali pada tahun 2020 ketika sektor ini terjejas teruk oleh wabak COVID-19.

 

Menurut RHB Investment Bank, Sarawak pada tahun 2023 merekodkan nilai kerja pembinaan sebanyak RM14.6 bilion iaitu keempat terbesar selepas Selangor, Wilayah Persekutuan dan Johor.

 

Katanya, jumlah itu mewakili CAGR lima tahun sebanyak 4.5%, iaitu satu pencapaian yang hebat jika dibandingkan dengan kebanyakan negeri lain yang mengalami penurunan.

 

"KKB Engineering menjadi syarikat terbaik untuk pelaburan saham di Sarawak di bawah liputan kami kerana pendedahan prasarananya yang pelbagai, diikuti oleh IJM Corp yang semakin meluaskan capaian operasinya di negeri berkenaan. 

 

"Kami juga ambil maklum akan rekod prestasi Gamuda di Sarawak menerusi pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo (PBH) dan projek Jalan Utama Kedua (STR), selain turut menekankan Ibraco sebagai idea pelaburan tanpa saranan untuk Sarawak," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Jelas firma penyelidikan itu, peningkatan projek prasarana secara besar-besaran boleh dijangkakan menerusi perbelanjaan pembangunan (DE) lebih tinggi yang diperuntukkan kepada Sarawak, bukan sahaja pada peringkat Persekutuan tetapi juga pada peringkat negeri.

 

Katanya, peningkatan ini disokong lagi oleh Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang bermatlamat untuk mencapai Keluaran Dalam Negari Kasar (KDNK) sebanyak RM282 bilion sebelum 2030 berbanding RM146 bilion bagi 2023 berdasarkan unjuran Unit Perancangan Ekonomi Sarawak.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan Sarawak manfaatkan pegangan dalam Affin Bank untuk perkasa PKS - Abang Johari

 

"Kami mengenal pasti beberapa sektor seperti sektor air (kerja-kerja paip, projek tebatan banjir dan loji rawatan air), pengangkutan (Transit Aliran Autonomi (ART) Kuching dan beberapa projek lebuh raya), tenaga boleh baharu (dalam bentuk kuasa hidro) melalui empangan dan pengeluaran gas perindustrian (hidrogen). 

 

"Sektor-sektor ini, di samping pusat-pusat data yang mungkin akan ditubuhkan, membuka ruang untuk mengembangkan prasarana di negeri ini.

 

"Penemuan telaga minyak baharu di luar pesisir Sarawak dengan lokasinya yang strategik untuk tujuan pengumpulan dan penyimpanan karbon (CCS) juga mungkin mendorong permintaan untuk pembinaan prasarana yang berkaitan," jelasnya.

 

Sementara itu, RHB Investment juga menggariskan beberapa faktor yang menjadikan Sarawak piihan pelabur asing antaranya tawaran tarif elektrik tanpa subsidi yang paling murah di rantau ASEAN, dasar-dasar yang memudahkan perniagaan dan sumber RE yang banyak iaitu kuasa hidro.

 

"Sarawak menerima pelaburan asing sebanyak RM12.4 bilion pada 2022 berbanding RM9.4 bilion pada 2021, sekali gus menjadikannya negeri yang menerima pelaburan asing yang diluluskan ketiga tertinggi, selepas Johor (RM58.8 bilion) dan Selangor (RM33 bilion). 

 

"Kemasukan pelaburan asing mungkin diterjemahkan kepada keperluan untuk menubuhkan prasarana di kawasan perindustrian seperti Taman Perindustrian Samalaju dan Taman Perindustrian Sarawak Petchem di Bintulu," ujarnya. - DagangNews.com