GEM saran kerajaan ambil langkah drastik pulihkan ekonomi | DagangNews Skip to main content

GEM saran kerajaan ambil langkah drastik pulihkan ekonomi


KUALA LUMPUR 12 Julai - Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM)  menggesa kerajaan mempertimbangkan beberapa insentif drastik untuk memastikan peniaga-peniaga mikro, kecil dan sederhana dapat terus berdaya tahan dalam mengharungi pandemik COVID-19.

 

Presidennya, Armin Baniaz Pahamin berkata, setelah dikaji, pakej stimulus PEMULIH walaupun dialu-alukan tetapi tidak memberi kesan untuk peniaga mikro, kecil dan sederhana untuk berdaya tahan sepanjang tempoh pandemik.

 

Beliau berkata, adalah amat mengecewakan jumlah keseluruhan suntikan langsung fiskal stimulus kerajaan
semenjak negara dilanda pandemik, hanyalah RM84 bilion atau 6% dari KDNK negara. Pakej stimulus PEMULIH hanya memperuntukkan RM10 bilion suntikan fiskal langsung.

 

Menurutnya, di negara-negara yang berjaya memulihkan ekonomi dari wabak COVID-19 seperti Jerman, 60% dari KDNK dibelanjakan secara suntikan fiskal langsung untuk tujuan memulihkan ekonomi. Singapura pula membelanja 20% dari KDNK untuk stimulus pemulihan.

 

Katanya, jumlah yang kecil ini tidak dapat membantu rakyat untuk mengharungi perintah kawalan pergerakan dan langsung tidak dapat membantu mana-mana perniagaan untuk berdaya tahan sepanjang perintah kawalan pergerakan yang berlanjutan dan tanpa mekanisme yang efektif dalam memastikan negara mampu mengatasi gelombang terkini dan gelombang-gelombang baru yang mungkin melanda negara pada masa hadapan.

 

Ini terbukti ujar beliau, dengan peningkatan jumlah kematian yang menyeluruh dilaporkan sebanyak 6,158
akibat dari pandemik COVID-19 dan sebanyak 1,099 kematian kes bunuh diri (Jan 2020 – Mei 2021) akibat dari tekanan emosi berpunca dari beban hutang.

 

Malah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam satu kenyataan bertarikh 7 Julai melaporkan 580,000 perniagaan atau 49% dari jumlah industri mikro, kecil dan sederhana berkemungkinan terpaksa gulung tikar. Industri Mikro, Kecil dan sederhana menyumbang 40% kepada KDNK.

 

 Armin Baniaz
 Armin Baniaz Pahamin

 

"Oleh itu, kami berpendapat satu langkah drastik perlu diperkenalkan dengan mengambil iktibar pakej stimulus yang berjaya memulihkan ekonomi negara-negara lain seperti berikut:


i. Pengecualian Cukai pendapatan untuk individu dan syarikat bagi tahun 2021 dan 2022 untuk semua berdaya tahan di waktu pandemik. Fokus rakyat harus mengutamakan kemampuan menyara hidup keluarga dan cukai pendapatan perlu diberi pengecualian seperti yang dipraktik di negara Jerman.

ii. Tunda bayaran cukai yang tertunggak dari 2019 & 2020 sehingga 2023 dan pengampunan semua penalti.

iii. Melaksanakan dengan lebih meluas cukai durian runtuh (windfall tax) pada industri dan individu yang mendapat keuntungan besar dari krisis COVID-19. Kami juga menggesa kerajaan untuk mengkaji dan pertimbang untuk dilaksanakan dengan lebih meluas cukai pertambahan nilai (capital gain tax) dan cukai maha kaya yang patut di kenakan kepada individu yang berpendapatan berbilion ringgit sehingga negara berjaya keluar dari krisis ekonomi yang berlaku akibat pandemik COVID-19 ini. Cukai-cukai ini dapat membantu industri mikro, kecil, sederhana dan rakyat yang betul-betul memerlukan bantuan.


iv. Memperkenal dan meluluskan satu akta yang mengharamkan pembayaran ‘Sewa’ untuk semua premis kediaman dan komersial supaya tiada rakyat yang dihalau keluar dari kediaman kerana ketidakmampuan membayar sewa. Telah banyak cubaan dan ada yang membunuh diri selepas dihalau keluar dari rumah apabila kehilangan kerja dan tidak mampu membayar sewa dan menyara hidup. Begitu juga penyewa premis komersial yang tidak dapat beroperasi dan terpaksa membayar sewa. Mereka berdepan dengan aliran tunai yang kritikal.


v. Di United Kingdom, Jerman dan beberapa negara lain, parlimen meluluskan undang-undang yang menghalang pemilik premis dari menghalau penyewa yang tidak membayar sewa semasa pandemik. Semua sewa dikecualikan untuk memastikan semua rakyat tidak kehilangan tempat tinggal.


vi. 30% diskaun sewa di bawah pakej PEMULIH tidak bermakna bagi penyewa yang langsung tidak boleh beroperasi dan masih perlu membayar 70% sewa tanpa sebarang aliran tunai dari jualan/perkhidmatan.


vii. Moratorium automatik tanpa faedah untuk semua jenis pembayaran pinjaman termasuk pinjaman dari syarikat kredit, kad kredit, leasing dan peminjam wang. Diantara kos terbesar perniagaan mikro, kecil dan sederhana ialah pembayaran sewa, pembayaran semua jenis pinjaman, gaji pekerja dan pembayaran utiliti.


viii. Program Subsidi Upah (PSU) perlu dinaikkan kepada 70% (dari 30%) bagi mengelak peningkatan pengangguran. PSU 70% ini juga dipraktikkan di negara Jerman. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menjangkakan bahawa lebih dari tujuh juta rakyat Malaysia bakal kehilangan pekerjaan susulan penutupan operasi sektor PKS akibat PKP. 


ix. Pengecualian pembayaran bil utiliti. Pengecualian bil utiliti selaras dengan PKP yang memerlukan rakyat untuk bekerja dan duduk di rumah.


x. Geran berjumlah RM30,000-RM50,000 bergantung kepada saiz perniagaan & bukan pinjaman, disalurkan kepada semua perniagaan mikro, kecil dan sederhana.


xi. Manakala untuk syarikat besar dan gergasi, pinjaman gergasi patut disalurkan untuk memastikan tiada pekerja diberhentikan. Geran dan pinjaman gergasi ini juga diperkenalkan di Jerman dan di Singapura.


xii. Pelaksanaan pembayaran geran dan pinjaman yang cekap dan hanya memakan masa maksimum 3 hari perlu dijadikan KPI seperti di negara Jerman dan Singapura.


xiii. Pengecualian semua caj dan bayaran untuk semakan dokumen statutori syarikat (submission of statutory document). Kos caj dan bayaran untuk dokumen statutori amat membebankan pemilik syarikat sendirian berhad yang mengalami kerugian sepanjang pandemik.

 

Armin Baniaz berkata, dengan penarafan kredit dikekalkan oleh S&P pada taraf ‘-A’, kerajaan mampu meminjam untuk membantu rakyat dan perniagaan untuk terus bernafas.

 

"Kami menggesa perlaksanaan di atas dilakukan dengan segera sebelum lebih ramai kes bunuh diri tercatat, lebih banyak perniagaan terpaksa ditutup dan sebelum jumlah pengangguran meningkat dengan lebih mendadak," ujar beliau.

.

"Kami juga tidak bersetuju dengan cara PKP 3.0 ini dilaksanakan. Ia tidak mendatangkan hasil
dengan purata kes harian melebihi 9,000 kes positif setiap hari untuk 3 hari berturut turut. Tetapi
salah satunya hasil yang berjaya dicapai, lebih banyak perniagaan yang mati dan rakyat mengibar
bendera putih kebuluran," katanya. - DagangNews.com