Generali Malaysia sasar jadi antara penanggung insurans am, hayat terbesar di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Generali Malaysia sasar jadi antara penanggung insurans am, hayat terbesar di Malaysia

(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Generali Life Insurance Malaysia, Rebecca Tan; Pengerusi Generali Insurance Malaysia, Raymond Fam Chye Soon; Duta Besar Itali di Malaysia, Massimo Rustico; Pegawai Generali International Asia, Roberto Leonardi; Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan Affin Bank, Abdul Malek Mohamed Said; Ketua Pegawai Eksekutif Generali Insurance Malaysia dan Ketua Negara Entiti Generali di Malaysia, Fabrice Benard

KUALA LUMPUR 11 Mei - Generali Malaysia telah menyasarkan untuk menjadi satu daripada penanggung insurans am terbesar dan penanggung insurans hayat yang berkembang pesat di Malaysia, meluaskan kelebihannya dalam pasaran yang kompetitif.

 

Pegawai Generali International Asia, Roberto Leonardi berkata Malaysia telah dikenal pasti sebagai pasaran berpotensi tinggi, di mana industri insurans am telah mencatat peningkatan 10.3% kepada RM 9.8 bilion dalam premium langsung kasar pada suku pertama dan kedua tahun 2022.

 

Manakala industri insurans hayat mencatatkan kenaikan 5.3% dalam jumlah diinsuranskan berkuat kuasa berjumlah RM1.9 trilion.

 

“Ini menunjukkan potensi pertumbuhan kukuh industri insurans di Malaysia, dengan ekonominya menjadi salah satu paling terbuka dan pelbagai, dan kini antara yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara.

 

“Prestasi ekonominya yang kukuh disokong oleh inisiatif kerajaan untuk membina ekosistem kewangan yang teguh, mewujudkan landskap kewangan digital yang bertenaga dan memberi tumpuan kepada kemampanan yang semakin meningkat yang menjadikan Malaysia destinasi menarik bagi pelabur, mendorong kemasukan Generali ke Malaysia,” katanya dalam majlis pelancaran Generali Malaysia.

 

Generali Malaysia sebahagian daripada kumpulan Generali yang berpangkalan di Itali, telah menyempurnakan pengambilalihan kepentingan majoriti dalam usaha sama AXA Affin di Malaysia dan mempunyai 100% kepentingan dalam MPI Generali Insurans Bhd.

 

Generali Group yang berpangkalan di Itali telah mengambil alih kedua-dua syarikat berkenaan yang bernilai RM1.29 billion, menjadikannya  salah satu M&A terbesar di Malaysia baru-baru ini.

 

Pada 1 April 2023, perniagaan berkenaan digabungkan kepada jenama tunggal iaitu Generali Malaysia dengan dua syarikat, Generali Malaysia Life Insurance Malaysia Bhd dan Generali Insurance Malaysia.

 

Generali Malaysia menjadi penanggung insurans am kedua terbesar Malaysia dengan lebih daripada 1,600 kakitangan, rangkaian pengedaran yang meluas meliputi lebih daripada 9,000 ejen dan rakan kongsi serta 49 cawangan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Generali Insurance Malaysia Bhd dan Ketua Negara Entiti Generali di Malaysia, Fabrice Benard berkata pelancaran tersebut adalah untuk mencipta satu jenama yang bersepadu dan memberi tumpuan kepada pelanggan dalam menyediakan penyelesaian insurans yang komprehensif bagi semua produk insurans am dan insurans hayat.

 

“Sebagai penanggung insurans yang  berwarisan dan berpengalaman lebih 190 tahun, kami berusaha untuk menyediakan pengalaman yang lebih baik secara menyeluruh dengan mengubah peranan kami bukan sekadar penjualan produk, malah menyediakan perkhidmatan tambah nilai dan diperibadikan sejajar dengan komitmen Rakan Sepanjang Hayat 24: Memacu Pertumbuhan Generali,” tambahnya. -DagangNews.com