Genetec diunjur jana sehingga RM70 juta selepas komersialkan BESS kepada aplikasi skala kecil, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Genetec diunjur jana sehingga RM70 juta selepas komersialkan BESS kepada aplikasi skala kecil, kata CGS-CIMB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Okt - CGS-CIMB Research menjangkakan Genetec Technology Berhad mampu menjana antara RM65 juta hingga RM70 juta dalam tempoh enam bulan selepas mengkomersialkan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) bernilai 40-45MWj kepada aplikasi berskala kecil.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek BESS dilihat positif dengan banyak pihak menyatakan minat bagi melengkapkan rumusan tenaga boleh diperbaharui (RE) mereka.

 

Katanya, pada FY25F, jumlah pelancaran kapasiti boleh berkembang dengan ketara apabila projek berskala besar, seperti ladang solar 2GW yang dirancang di Pahang oleh Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar) dan Citaglobal Berhad, dimulakan.

 

Ia diperkukuhkan dengan jalinan kerjasama yang dimerterai pada awal Oktober 2023 antara MIDA dan Masdar bagi membangunkan sehingga 10GW projek RE di Malaysia bernilai AS$8 bilion dalam beberapa tahun akan datang.

 

"Ketika terdapat pemain serantau lain yang bersaing dalam ruang penyimpanan bateri, Genetec, bersama Citaglobal, akan mempunyai kelebihan dalam beberapa projek domestik dan serantau kerana hubungan kukuh serta keupayaannya bagi menyediakan sistem pengurusan bateri/tenaga yang setanding," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu optimis terhadap pertumbuhan kumpulan itu terutama bagi sektor kenderaan elektrik (EV) dan pengurusan percaya keterlihatan buku pesanan daripada Pelanggan C kekal cerah kerana pelaburan dalam pengembangan kilangnya masih utuh.

 

Katanya, Genetec menjangkakan peningkatan lebih RM200 juta menjelang akhir FY3/24 kepada buku pesanan tertunggak RM266 juta (pada akhir Jun 2023), melalui skop kerja tambahan untuk pelanggannya.

 

Penambahan itu termasuk unit pengurusan bateri, pemasangan bateri keseluruhan dan sistem brek penjanaan semula.

 

"Kami mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM3.60 sesaham," katanya. - DagangNews.com