Gentari, EV Connection, Yinson GreenTech meterai perjanjian memudah cara jejak dan akses stesen pengecas EV | DagangNews Skip to main content

Gentari, EV Connection, Yinson GreenTech meterai perjanjian memudah cara jejak dan akses stesen pengecas EV

(Dari kiri) Ir Lee Yuen How, Shah Yang Razalli dan Ketua Pegawai Operasi Green EV Charge, Huzaini Nor Omar
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Mac - Gentari Sdn Bhd melalui anak syarikatnya, Gentari Green Mobility Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian tiga pihak dengan EV Connection Sdn Bhd dan anak syarikat Yinson GreenTech, Green EV Charge Sdn Bhd.

 

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kerjasama itu memberikan pengguna EV keupayaan untuk mengesan lebih 550 stesen pengecas di seluruh negara.

 

Perjanjian tersebut membolehkan jejak silang dan akses silang pengecasan kenderaan elektrik (EV) pada Gentari (melalui Setel) serta aplikasi mudah alih JomCharge dan chargEV.

 

Kerjasama itu diumumkan dalam acara Automechanika Kuala Lumpur 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 16 Mac 2023.

 

Ketua Pegawai Mobiliti Hijau Gentari, Shah Yang Razalli berkata, “Menjelang Jun, pengguna akan mendapat manfaat tambahan daripada pengecasan akses silang memandangkan mereka dapat mengakses kira-kira 70% daripada semua stesen pengecas di Malaysia.”

 

Menurut Pengarah Urusan EV Connection, Ir Lee Yuen How, ketiga-tiga pihak mengambil inisiatif untuk memenuhi keperluan dan memudahkan kehidupan pengguna.

 

“Melalui perkongsian tiga rangkaian ini, kami memberi jaminan kepada pengguna agar mereka boleh mengesan keseluruhan rangkaian pengecasan ketiga-tiga pembekal perkhidmatan melalui Setel, JomCharge atau chargEV,” tambahnya.

 

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Pembangunan Perniagaan Yinson Greentech, Srinivas Tati berkata, “Gandingan ini adalah langkah pertama dalam kerjasama infrastruktur dengan pemain industri utama yang akan membawa kepada lebih banyak peluang dan kemungkinan pada masa hadapan.”

 

Sehingga 16 Mac 2023, Gentari melalui entiti gabungannya telah menggunakan lebih 150 stesen pengecas di 35 lokasi di Malaysia dan lebih 160 pengecas di India.

 

Dengan misi untuk menjadi penyedia penyelesaian mobiliti hijau pilihan Asia Pasifik, Gentari menyasarkan untuk menguasai 10% bahagian pasaran, kira-kira 25,000 stesen pengecas berdasarkan anggaran semasa, merentasi pasaran utama di Asia Pasifik menjelang 2030.

 

Pada jangka sederhana, Gentari menyasarkan untuk memasang 9,000 stesen pengecas awam menjelang 2026 di Malaysia dan India. -DagangNews.com