GFM Services rancang bangunkan R&R Sungai Muda baharu bernilai RM78 juta | DagangNews Skip to main content

GFM Services rancang bangunkan R&R Sungai Muda baharu bernilai RM78 juta

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Feb - GFM Services Berhad bakal membangunkan R&R Sungai Muda baharu, Pulau Pinang yang terletak di sepanjang jajaran arah utara Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dengan anggaran kos pembangunan kira-kira RM78 juta.

 

Projek itu, yang dijangka bermula pada 2025 dan siap dalam tempoh dua tahun, akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman GFM dan/atau melalui penjanaan dana pasaran modal, jika diperlukan.

 

Bagi mencapai matlamat tersebut, GFM mengumumkan bahawa ia telah memeterai perjanjian jualan saham untuk mengambil alih seluruh kepentingan dalam Era Gema Bina Sdn Bhd dengan pertimbangan pembelian sebanyak RM23 juta.

 

Kumpulan itu berkata, pengambilalihan kepentingan Era Gema tersebut, yang dijangka selesai hujung tahun ini, akan membolehkan GFM membangunkan, mengendali dan menyelenggara R&R Sungai Muda itu, sekali gus mengembangkan aliran pendapatan dan portfolio berulangnya.

 

 

R&R Sungai Muda [Gambaran artis]
R&R Sungai Muda [Gambaran artis]

 

 

Pembekal perkhidmatan pengurusan fasiliti bersepadu itu berkata, Era Gema diberi hak oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk melaksanakan cadangan pembangunan R&R tersebut di atas tanah seluas 1.74 hektar.

 

Sebanyak 1.40 hektar daripada tanah itu dimiliki Era Gema dan baki 0.34 hektar adalah dari tapak sedia ada R&R Sungai Muda yang akan dinaik taraf dan digabungkan sebagai pembangunan bersepadu.

 

Pengarah Urusan Kumpulan GFM, Ruslan Nordin mengulas bahawa cadangan pengambilalihan berkenaan merupakan langkah strategik syarikat untuk meningkatkan kehadiran dalam perniagaan R&R, sektor yang ia sedang giat teroka kerana potensi besar pertumbuhannya. 

 

 

Ruslan Nordin
Ruslan Nordin

 

 

“Memandangkan Era Gema telah memperoleh kelulusan awal untuk membangunkan R&R Sungai Muda, ini mempercepatkan kemajuan kami dengan ketara, membolehkan kami memulakan pembangunan lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

R&R baharu ini terletak di lokasi yang ideal, kira-kira 5 kilometer dari pusat bandar Kepala Batas, 15 kilometer dari Butterworth dan 12 kilometer dari pusat bandar Sungai Petani, di sepanjang sebelah utara lebuhraya PLUS.

 

Ruslan berkata, lokasi strategik R&R Sungai Muda baharu, ditambah jumlah trafik yang semakin meningkat, menjadikan projek ini prospek pelaburan yang menarik bagi kumpulan untuk memperluas kehadiran dalam sektor R&R lebuh raya. 

 

“GFM juga akan mendapat manfaat daripada pelbagai aliran pendapatan berulang, termasuk penyewaan runcit, surcaj jualan dan operasi stesen minyak. Dengan memanfaatkan kepakaran pengurusan fasiliti kami, GFM juga akan menjadi pengurus fasiliti premis apabila siap, seterusnya menambah buku pesanan kami,” tambahnya. - DagangNews.com