Globetronics catat penurunan untung bersih sebanyak 25% kepada RM9.5 juta bagi 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

Globetronics catat penurunan untung bersih sebanyak 25% kepada RM9.5 juta bagi 3QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Okt - Untung bersih Globetronics Technology Berhad susut sebanyak 25% kepada RM9.5 juta pada suku ketiga berakhir 30 Septermber 2023 (3QFY23) berbanding RM12.8 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Kumpulan itu berkata, kerugian itu adalah disebab kan permintaan lebih rendah daripada kumpulan pelanggan tertentu selain keuntungan tukaran mata wang asing yang lebih rendah sebanyak RM400,000 berbanding untung sebanyak RM3.9 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Hasil kumpulan bagi suku itu juga susut sebanyak 25% kepada RM34.6 juta berbanding RM46.3 juta pada suku 3QFY22.

 

Bagi tempoh sembilan bulan 2023, kumpulan itu mencatatkan hasil yang lebih rendah sebanyak RM99.3 juta dan keuntungan bersih sebanyak RM19.9 juta berbanding RM137 juta dan RM33.4 juta masing-masing dalam tempoh yang sama tahun lepas (penurunan 28% dan 40% masing-masing).

 

Segmen Asia Tenggara dan Amerika Utara merekodkan penurunan jualan berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

 

"Perbelanjaan cukai yang lebih tinggi sebanyak RM5.5 juta diiktiraf dalam penyata pendapatan berbanding perbelanjaan cukai sebanyak RM3.6 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas berakhir 30 September 2022," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, industri semikonduktor terus mengalami isu makroekonomi dan geopolitik yang mencabar yang mengakibatkan permintaanyang tidak menentu, inflasi yang meningkat dan kekurangan tenaga kerja.

 

Kumpulan itu  telah mengambil langkah dan akan terus berusaha untuk meminimumkan sebarang potensi pendedahan atau gangguan yang timbul daripada cabaran itu.

 

"Tahun ini akan menjadi satu cabaran dan kumpulan dijangka mengalami penurunan dalam keuntungan.

 

"Beberapa faktor yang menyumbang kepada penurunan ini termasuk ramalan hasil yang lebih lembut daripada pelanggan kami, kesan cukai setahun penuh selain kesan kenaikan gaji minimum dan peningkatan kos utiliti," katanya. - DagangNews.com