Go Hub meterai taja jamin dengan UOB Kay Hian untuk IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Go Hub meterai taja jamin dengan UOB Kay Hian untuk IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Go Hub, Tan Cherng Thong (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd, David Lim pada majlis perjanjian taja jamin penyenaraian Go Hub.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 7 Jun - Go Hub Capital Berhad (Go Hub), penyedia penyelesaian teknologi maklumat (IT) pengangkutan utama memeterai perjanjian taja jamin dengan UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd (UOBKH) untuk Tawaran Awam Permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.


 
Penyenaraian Go Hub melibatkan terbitan awam 107.18 juta saham biasa baharu dengan 20 juta saham IPO disediakan untuk permohonan oleh orang ramai Malaysia.

 

Sebanyak 12 juta saham IPO pua dikhaskan untuk permohonan oleh pengarah dan pekerja yang layak serta orang yang telah menyumbang kepada kejayaan Kumpulan manakala  75.18 juta saham IPO disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur institusi dan/atau terpilih yang dikenal pasti. 

 

"UOBKH akan menaja jamin 32,000,000 saham IPO yang disediakan kepada orang awam Malaysia dan orang yang layak sebagai sebahagian daripada perjanjian taja jamin. 

 

"IPO ini tidak melibatkan tawaran jualan dan penempatan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri kerana syarikat pengendali, NSS berstatus MSC Malaysia (kini dikenali sebagai Status Digital Malaysia)," kata Go Hub dalam kenyataan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Go Hub Capital terima kelulusan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Go Hub, Tan Cherng Thong  berkata, pihaknya sedang bersiap sedia untuk mengembangkan jejak teknologi dan penawaran penyelesaian dalam sektor pengangkutan dan IPO ini merupakan langkah strategik ke arah tersebut.

 

"Kami teruja untuk bekerjasama dengan UOB Kay Hian untuk memudahkan penyenaraian kami di Pasaran ACE. 

 

"Perolehan IPO yang dikumpul terutamanya akan memacu pelan pengembangan perniagaan kami, yang merangkumi pengembangan keupayaan teknikal dan tenaga kerja kami. 

 

"Matlamat kami adalah untuk mengembangkan penyelesaian IT kami untuk industri pengangkutan, meningkatkan penglibatan pelanggan melalui transformasi digital, dan meneroka peluang baharu dalam pasaran bersebelahan,” jelasnya.

 

go hub

 

Sebagai penyedia perkhidmatan IT khusus yang mantap dalam industri pengangkutan, Go Hub secara konsisten menunjukkan komitmen yang kukuh ke arah inovasi dan kecemerlangan. 

 

Inisiatif strategik dan kemajuan teknologi Kumpulan telah mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam mengubah landskap pengangkutan Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd, David Lim pula berkata, prestasi kukuh Go Hub, didorong oleh penyelesaian IT yang inovatif dan komprehensif dalam industri pengangkutan, memberikan peluang pelaburan yang menarik. 

 

"Kami tidak sabar-sabar untuk menyokong perjalanan Go Hub kerana ia beralih kepada syarikat tersenarai awam,” ujarnya. - DagangNews.com