Google lancar kempen tingkatkan kesedaran keselamatan dalam talian rakyat Malaysia | DagangNews Skip to main content

Google lancar kempen tingkatkan kesedaran keselamatan dalam talian rakyat Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Feb - Sempena Hari Keselamatan Internet pada 6 Februari ini, Google Malaysia melancarkan kempen bagi meningkatkan kesedaran keselamatan dalam talian untuk rakyat Malaysia.

 

Google berkata, untuk meraikan bulan tersebut, Google memulakan kempen sosial selama sebulan yang menampilkan siri petua-petua singkat yang menarik dan mudah dikongsi.

 

Katanya, sepanjang Februari, pihaknya akan berkongsi petua keselamatan dalam talian setiap hari di halaman Twitter (X) Google Malaysia, bertujuan untuk mendidik rakyat Malaysia tentang keselamatan dalam talian dan memupuk pengalaman dalam talian yang lebih selamat dan positif.

 

"Penipu kerap menggunakan mesej pancingan data yang direka untuk menggesa pengguna memuat turun aplikasi penipuan, bertujuan untuk memperoleh kelayakan kewangan sama ada melalui pengawasan atau dengan menyamar sebagai aplikasi yang sah. 

 

"Mesej yang mengelirukan ini sering meniru organisasi bereputasi seperti bank atau perkhidmatan penghantaran, menggesa pengguna untuk membuat tindakan segera dalam menangani isu yang semasa.

 

"Jenis penipuan ini menjejaskan orang ramai di seluruh dunia, termasuk Malaysia dan telah berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini merentasi semua sistem pengendalian mudah alih," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Baru-baru ini katanya, Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan (NSRC) turut mencatatkan kerugian sebanyak RM1.34 bilion, dalam 33,234 kes jenayah dalam talian, dari 1 Januari hingga 8 Disember tahun lepas.

 

"Setiap hari anda lebih selamat dengan Google. Kami memastikan lebih ramai orang selamat dalam talian berbanding orang lain di dunia dengan produk yang selamat secara lalai, dengan reka bentuk peribadi dan meletakkan anda dalam kawalan. 

 

"Kami mahu meneruskan usaha kami dalam memastikan rakyat Malaysia selamat dalam talian, supaya anda boleh meneroka dunia dalam talian dengan yakin," katanya.

 

Katanya, produk dan alatan juga tersedia, memberikan pengguna kawalan maklumat peribadi mereka dengan alatan seperti Pemeriksaan Keselamatan, Semakan Privasi, Pengurus Kata Laluan, dan banyak lagi.  - DagangNews.com