Grab Malaysia sumbang RM1 juta bantu Palestin selepas tular isu isteri pengasas 'puji' Israel | DagangNews Skip to main content

Grab Malaysia sumbang RM1 juta bantu Palestin selepas tular isu isteri pengasas 'puji' Israel

Tangkap layar hantaran Instagram Stories daripada isteri pengasas bersama Grab, Chloe Tong berhubung mesej simpati terhadap Israel yang tular, baru-baru ini
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Nov - Susulan tular tangkap layar hantaran Instagram Stories daripada isteri pengasas bersama Grab, Chloe Tong berhubung mesej simpati terhadap Israel baru-baru ini, Grab Malaysia hari ini mengumumkan pemberian sumbangan sebanyak RM1 juta untuk Program Bantuan Kemanusiaan Gaza MERCY Malaysia.

 

Grab Malaysia berkata, pihaknya kekal teguh dengan pendirian pro kemanusiaan dan menyokong usaha ke arah keamanan serta pelaksanaan gencatan senjata.

 

Katanya, sebagai ahli United Nations Global Compact (UNGC), pihaknya tidak menyokong sebarang bentuk keganasan.

 

"Sebagai ahli UNGC, kami mendukung prinsip asas UNGC yang menghormati perlindungan hak asasi manusia," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut penyedia perkhidmatan e-hailing itu, individu terbabit (dipercayai merujuk kepada Chloe) telah menjelaskan yang ia adalah pandangan yang disuarakan menerusi platform peribadi, serta diambil di luar konteks sebenar.

 

Terdahulu, dalam hantaran di Instagram Stories, Chloe meluahkan rasa cinta serta dukacita terhadap Israel kerana pernah melawat negara itu.

 

Bagaimanapun, beliau menerima kecaman hebat daripada rakyat Malaysia yang bertindak memboikot aplikasi Grab, namun Chloe tampil menjelaskan bahawa hantarannya telah disalah erti.

 

Menurut Chloe, Instagram Stories miliknya sebelum ini dimuat naik sebelum dia memahami apa sebenarnya yang berlaku antara Israel dan Gaza.

 

"Seperti umat manusia lain, saya mengharapkan gencatan senjata dan keamanan. Saya hanya sedih dan berasa sangat tidak berdaya untuk semua nyawa yang tidak berdosa yang terkorban," katanya.

 

 

grab
Chloe Tong

 

 

 

grab
Chloe Tong tampil memberi penjelasan bahawa hantaran Instagram Stories miliknya itu telah dimuat naik beberapa minggu lalu dan secara tiba-tibanya telah tular serta mengundang ucapan berbaur kebencian oleh orang ramai.

 

 

Sementara itu, bagi mengatasi keperluan mendesak yang dihadapi komuniti rentan yang terjejas di Gaza, berikutan konflik yang berterusan, Grab Malaysia akan menyumbang bantuan kewangan bernilai RM1 juta melalui MERCY Malaysia. 

 

Pengguna Grab juga boleh menyumbang melalui GrabPay atau menukar GrabRewards mereka untuk menyokong usaha MERCY Malaysia, sekali gus menyumbang untuk membuat perubahan yang nyata dalam kehidupan individu yang terjejas.

 

Grab Malaysia turut menyasarkan untuk memenuhi keperluan kritikal bagi mereka yang terjejas dengan membantu menyediakan akses kepada perubatan, makanan, bekalan air dan pelbagai lagi, dan mengutamakan kesejahteraan mereka. 

 

Grab Malaysia dan MERCY Malaysia sedang bekerjasama untuk mewujudkan program dan inisiatif yang mampan, dalam memastikan kesan positif yang berkekalan kepada pelbagai komuniti yang terjejas, dengan menyasarkan pemulihan segera, daya tahan dan sokongan jangka panjang. 

 

Selain itu, bermula 8 November 2023 hingga 8 Mei 2024, Grab akan memadankan jumlah yang didermakan kepada Tabung Bantuan Palestin MERCY Malaysia melalui GrabRewards, sebagaimana pelaksanaan sumbangan amal melalui GrabRewards sebelum ini. - DagangNews.com