Graduan TVET diseru mendapatkan pengiktirafan Lembaga Teknologis Malaysia | DagangNews Skip to main content

Graduan TVET diseru mendapatkan pengiktirafan Lembaga Teknologis Malaysia

Pendaftaran dengan MBOT bertujuan meningkatkan profesionalisme graduan TVET./Gambar Jeswin Thomas
Oleh M. HERMAN HAMID

 KUALA LUMPUR 15 Feb - Graduan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang telah menamatkan latihan diseru supaya berdaftar dengan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

 

Menurut MBOT, perkara ini diputuskan pada mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) bertujuan meningkatkan profesionalisme graduan TVET.

 

"Ini sekali gus meningkatkan produktiviti industri melalui pembangunan kapasiti dan bakat," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Mesyuarat MTVET tersebut dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi MTVET pada 23 Januari lalu.

 

MBOT dalam mesyuarat tersebut membentangkan kertas berkaitan Peranan MBOT dalam Memperkasa Graduan TVET.

 

mbot

 

Menurut MBOT, dalam memastikan kualiti graduan TVET, mereka turut digalakkan untuk mendapatkan nilai tambah dengan menyertai program-program latihan dan pembangunan berterusan anjuran MBOT atau Penyedia Latihan Diluluskan MBOT.

 

"Sehubungan itu, MBOT mempelawa semua institusi pengajian tinggi dan institusi latihan kemahiran awam dan swasta untuk mendaftarkan graduan mereka dengan MBOT sebagai Juruteknik Berkelayakan atau Teknologis Berijazah," ujarnya.

 

MBOT merupakan sebuah badan profesional yang memberikan pengiktirafan profesional kepada Teknologis dan Juruteknik dalam bidang teknologi dan teknikal. 

 

MBOT telah ditubuhkan di bawah Akta Teknologis dan Juruteknik 2015 [Akta 768] untuk mengiktiraf, mengawal, menggalak dan membangunkan profesion teknologis dan juruteknik sebagai profesion ikhtisas.- DagangNews.com