Guan Chong catat keuntungan operasi sulung sebanyak RM15.4 juta bagi kemudahan di Ivory Coast pada 1QFY23 | DagangNews Skip to main content

Guan Chong catat keuntungan operasi sulung sebanyak RM15.4 juta bagi kemudahan di Ivory Coast pada 1QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mei - Guan Chong Berhad mencatatkan keuntungan operasi sulung sebanyak RM15.4 juta dengan hasil sebanyak RM144.8 juta daripada kemudahan di Ivory Coast pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23).

 

Kemudahan itu menjadi sebahagian daripada strategi sumber Guan Chong untuk mengisar biji koko gred premium dan mencapai kelebihan daya saing dari segi penjimatan masa dan kos berbanding kilang sedia ada yang berpangkalan di Asia.

 

Selain itu, kehadiran langsung kumpulan itu di Ivory Coast membolehkannya menghasilkan bahan koko dari asal satu negara.

 

Dengan kemudahan pengisaran koko Ivory Coast, jumlah kapasiti pengisaran tahunan kumpulan itu telah meningkat sebanyak 22% atau 60,000 MT kepada 337,000 MT daripada 277,000 MT, di samping kapasiti pengisaran di Malaysia, Indonesia dan Jerman.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Brandon Tay Hoe Lian berkata, keuntungan itu hanya permulaan untuk kumpulan itu.

 

"Bekalan bahan mentah yang mencukupi di Ivory Coast tidak akan menjadi penghalang untuk pengembangan kapasiti kami sekiranya perlu.

 

“Kumpulan pada mulanya akan memperuntukkan 40% kapasiti pengisaran dari kilang Ivory Coast untuk membekalkan bahan koko kepada anak syarikat coklat industri Jerman, Schokinag-Schokolade-Industrie GmbH (Schokinag) bagi menghasilkan coklat berkualiti premium bagi memenuhi permintaan pasaran Eropah," katanya.

 

Kemudahan pengisaran di Ivory Coast juga akan memberi manfaat, dari segi bebas cukai dan bebas kuota bagi barangan yang dieksport ke Eropah, serta lima tahun cukai korporat sifar.

 

Kumpulan itu mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 11.3% kepada RM1.1 bilion berbanding RM990.5 juta sebelumnya disumbangkan oleh peningkatan harga jualan bagi koko pepejal dan bahan coklat industri bagi 1QFY23.

 

Bagaimanapun disebabkan margin mentega koko yang lebih rendah dan peningkatan kos kewangan, keuntungan bersih kumpulan menurun 55.4% kepada RM23.8 juta pada 1QFY23 daripada RM53.3 juta sebelumnya.

 

Mengulas mengenai prospek masa hadapan, kumpulan akan kekal fokus pada perniagaan teras iaitu pemprosesan koko. 

 

Pada masa yang sama, kumpulan itu berazam untuk mengoptimumkan pengeluaran Schokinag mengikut keadaan pasaran, sementara mereka berusaha untuk mencapai margin jualan coklat industri yang lebih baik untuk meningkatkan keuntungan. - DagangNews.com