KUALA LUMPUR 2 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan inisiatif GX Bank Berhad (GXBank) iaitu GX Untuk Semua dalam memenuhi visi KL20 untuk menjadi salah satu daripada 20 hab permulaan global terkemuka.
GXBank, sebuah bank digital yang dibangunkan oleh Grab, merancang melabur RM1.5 bilion di Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang termasuk melancarkan inisiatif "GX Untuk Semua" bagi meningkatkan peranan Malaysia dalam perbankan digital.
Menurut bank itu, GX Untuk Semua bertujuan memberi tumpuan kepada memupuk bakat teknologi tempatan, membangunkan kecekapan teras dan amalan industri terbaik, serta penyelesaian inovatif.
Katanya, inisiatif ini akan memanfaatkan teknologi terkini untuk menawarkan akses kewangan dan penyelesaian mampan untuk golongan yang tersisih atau sukar mendapatkan perkhidmatan.
"Antara kepakaran dan penyelesaian yang disasarkan oleh hab ini adalah penyelesaian berasaskan AI untuk pengurusan risiko dan penipuan, serta penyelesaian pinjaman peribadi dan MSME.
"Selain itu, GX Untuk Semua juga akan menggalakkan keusahawanan dan menyediakan peluang penyelesaian berasaskan teknologi untuk diterokai bagi keperluan kewangan digital masa depan," katanya dalam kenyataan media.
Hadir sama pada majlis pelancaran berkenaan ialah Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan Gobind Singh Deo, Menteri Digital.
Turut hadir Datuk Zaiton Mohd. Hassan, Pengerusi Lembaga Pengarah, GXBank; Anthony Tan, Ketua Eksekutif Grab Holdings; Lai Pei-Si, Ketua Eksekutif GXBank; ahli lembaga pengarah dan pemegang saham GXBank; dan pengurusan kanan Grab Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi GXBank, Datuk Zaiton Mohd Hassan berkata, GX Untuk Semua lebih daripada aspirasi kebangsaan atau hab teknologi.
Katanya, ia juga melambangkan pelbagai impian kewangan besar dan kecil setiap rakyat Malaysia.
“Dengan sokongan tenaga kerja berbakat yang terdiri daripada lebih 95% rakyat Malaysia, GXBank maju ke hadapan dalam menangani keperluan kewangan sebenar setiap rakyat Malaysia.
"Malah, melalui inisiatif inklusif kewangan, Impian Gigih, GXBank menyediakan biasiswa kepada 1,200 penerima di Kelantan dan Johor.
"Justeru menerusi GX Untuk Semua, kepakaran dan sumber manusia GXBank memastikan tiada siapa yang ketinggalan dalam era ekonomi digital,” jelasnya.
GX Bank menambah, satu tinjauan oleh Gartner pada tahun 2021 ke atas eksekutif IT menunjukkan bahawa majoriti - 64% - percaya kekurangan bakat teknologi yang berterusan adalah halangan paling ketara terhadap penerimaan teknologi baharu.
Justeru, katanya, mengenal pasti dan memupuk bakat yang tepat adalah penting untuk industri teknologi.
"GX Untuk Semua menyasarkan untuk membantu membina saluran perhubungan ini dengan memupuk potensi masa depan melalui program awal kerjaya.
"Sehubungan itu, Zaiton berkata, GXBank sedang bekerjasama dengan universiti tempatan dan telah menyediakan Biasiswa Impian Gigih untuk memupuk bakat tempatan dan akan berkongsi lebih banyak usaha bersepadu di bawah setiap hab dalam beberapa bulan akan dating," ujarnya.
GXBank menerima sokongan lebih daripada 100,000 pengguna dalam dua minggu pertama sejak pelancarannya pada November 2023.
"Menjelang akhir Julai 2024, ia telah mencapai lebih 750,000 pelanggan yang telah membuat lebih 800,000 Saku Simpanan dan lebih 13 juta transaksi secara kolektif melalui Kad GX dan imbasan QR.
"Pertumbuhan ini memperlihatkan pilihan rakyat Malaysia terhadap digitalisasi perkhidmatan perbankan pada era ini dan kepercayaan mereka terhadap perbankan digital," katanya.- DagangNews.com