Haier perkenal barisan produk barangan elektrik berteknologi tinggi pada 2024 | DagangNews Skip to main content

Haier perkenal barisan produk barangan elektrik berteknologi tinggi pada 2024

Haier menyasarkan kenaikan jualan sebanyak 45% terhadap barangan terlibat iaitu pendingin hawa, peti sejuk dan beku, mesin basuh, televisyen, pemanas air serta perkakas dapur.

KUALA LUMPUR 20 Dis - Syarikat pengeluar barangan kelengkapan elektrik, Haier Malaysia memperkenalkan beberapa siri baharu perkakas rumah berteknologi tinggi yang bakal menjadi tarikan pelanggannya bagi suku pertama tahun depan.

 

Pengarah urusannya, Fan Jing berkata, syarikat itu menyasarkan kenaikan jualan sebanyak 45% terhadap barangan terlibat iaitu pendingin hawa, peti sejuk dan beku, mesin basuh, televisyen, pemanas air serta perkakas dapur.

 

Menurut beliau, penyaman udara siri UV Cool Premium (VXA) dan UV Cool Smart (VRA) yang baharu mempunyai kemudahan wifi membolehkan pengguna mengubah suai suhu dan tetapan pilihan daripada mana-mana sahaja melalui aplikasi Haismart.

 

"Ia mempunyai teknologi pensterilan ultraviolet (UVC) yang menyamankan udara, menghalang pembawaan bakteria dan virus udara serta menggalakkan kehidupan lebih sihat.

 

"Produk ini telah menerima penarafan Texcell pada kadar kecekapan 99.991 peratus dalam menyingkirkan virus SARS-CoV-2.

 

"Ciri kemudahan yang sama ini turut digabungkan ke dalam penyaman udara komersial ringan Haier untuk kegunaan pejabat," katanya dalam majlis Inspire Future Dreams di sini, hari ini.

 

 

haier
Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menandatangani persetujuan menyambung kerjasama dengan Haier Malaysia sebagai duta jenama itu pada 2024. - Gambar Sinar Harian

 

 

Pada majlis berkenaan, pasangan beregu badminton Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik turut menandatangani persetujuan menyambung kerjasama dengan Haier Malaysia sebagai duta jenama itu pada tahun depan.

 

 

haier
Fan Jing

 

 

Sementara itu, Jing berkata, mesin basuh dan peti sejuk empat pintu terbaharu turut menggabungkan aplikasi Haismart untuk memudahkan kehidupan pengguna dengan menyambungkannya ke rangkaian WIFI.

 

"Pengguna boleh menguruskan makanan, kawalan mod dan suhu dari jauh serta menerima tips tentang resipi kegemaran mereka melalui aplikasi ini.

 

"Selain itu, penyejuk wain pertama di negara akan tiba pada tahun depan yang menampilkan teknologi sistem aliran udara semula jadi untuk mengekalkan suhu yang konsisten dan kelembapan dengan lebih baik.

 

 

haier

 

 

"Kualiti wain yang disimpan dalam penyejuk ini akan kekal lama dengan adanya pengawalan suhu yang optimum," ujarnya.

 

Jelas beliau, hud dan dapur gas turut memaparkan reka bentuk bionik besar membolehkan aliran udara yang kuat serta tidak tersekat sambil mengekalkannya dalam mod senyap, lapor Sinar Harian.

 

"Ia mempunyai tetapan iaitu secara automatik akan mematikan bekalan gas sebaik pemasa tamat untuk mengelakkan kemungkinan berlaku kemalangan berbahaya," ujarnya. - DagangNews.com