Hana Raja dilantik Pengarah Urusan Cisco di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Hana Raja dilantik Pengarah Urusan Cisco di Malaysia

Hana Raja

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Syarikat peneraju teknologi dunia, Cisco melantik Hana Raja sebagai Pengarah Urusan kepada perniagaannya di Malaysia.

 

Dengan pelantikan tersebut, Hana akan memberi tumpuan kepada usaha transformasi digital pelanggan di seluruh negara selain menjalinkan kerjasama erat bersama rakan ekosistem Cisco.

 

Pelantikan tersebut juga secara tidak langsung menggantikan tugas Albert Chai yang meninggalkan Cisco setelah berkhidmat selama 12 tahun.

 

Hana mempunyai pengalaman selama 12 tahun dalam bidang perancangan strategik, pengurusan perniagaan dan berkepimpinan dalam pelbagai sektor.

 

Sebelum ini, beliau turut menerajui 'Cisco’s Strategy and Operations for ASEAN' sejak dua tahun lalu ketika berpusat di Kuala Lumpur.

 

Dalam pada itu, Hana telah memainkan peranannya dalam mendorong pertumbuhan Cisco di seluruh wilayah dalam tempoh beberapa tahun terdahulu.

 

Peranan tersebut dijayakan melalui pendekatan berstruktur dalam aspek pembangunan strategi, kecemerlangan komersial, peningkatan prestasi dan perubahan tingkah laku.

 

Dengan pelantikan tersebut, beliau meletakkan sasaran untuk mencipta pertumbuhan jangka panjang yang mapan bagi Cisco Malaysia.

 

"Dengan perubahan tahap teknologi di negara ini, kami mempunyai peluang untuk mengubah masyarakat dalam aspek teknologi dan perhubungan rakan kongsi, kolaborasi dan inovasi.

 

"Saya berharap dapat membawa Cisco dalam usaha memajukan Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi digital yang terjamin dan dipercayai di mana perniagaan, pelabur dan masyarakat dapat memanfaatkan sepenuhnya potensi dan kelebihan teknologi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Hana pada sebelumnya berkhidmat bersama Bain & Company dengan peranan pengurusan transformasi strategik bagi syarikat berkaitan minyak dan gas, barangan industri, runcit dan automotif di seluruh ASEAN.

 

Mengulas berkaitan pelantikan tersebut, Presiden Cisco ASEAN, Naveen Menon memberitahu, pelantikan Hana adalah seiring dengan komitmen pihaknya dalam usaha mengekalkan bakat terbaik dalam industri selain melahirkan pasukan kepimpinan yang cemerlang.

 

"Di samping pengalamannya di Cisco dan pasaran ASEAN, dia akan membawa aura sinergi baharu yang mengukuhkan lagi visi kami bagi mengangkat matlamat Ekonomi Digital Malaysia," katanya lagi. - DagangNews.com