Hanya 1 plot industri di MCKIP 3 diisi, prestasi ECERDC kurang memuaskan - Laporan Ketua Audit Negara | DagangNews Skip to main content

Hanya 1 plot industri di MCKIP 3 diisi, prestasi ECERDC kurang memuaskan - Laporan Ketua Audit Negara

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 4 Julai - Prestasi pengisian plot perindustrian Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) kurang memuaskan iaitu hanya enam atau 14% daripada 43 plot perindustrian diisi dengan pelabur. 

 

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2/2024, perkara ini boleh menyumbang kepada ketidakcapaian objektif projek yang telah ditetapkan

 

Katanya, ia melibatkan Projek Taman Industri Kuantan Malaysia-China 3 (MCKIP 3), Projek Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) dan Pembangunan Projek Taman Biopolimer Kertih (KBP) Fasa 1 hingga 3.

 

Di MCKIP 3, laporan itu mendedahkan sebanyak 18 daripada 19 plot perindustrian di taman periundustrian itu masih kosong sejak tahun 2017.

 

Menurut Jabatan Audit Negara, semakan lanjut mendapati pendapatan terkumpul yang dijana hasil daripada Projek MCKIP 3 sehingga bulan Februari 2023 hanya berjumlah RM2.54 juta iaitu 1.4% berbanding kos peruntukan keseluruhan.

 

lkan
Infografik Jabatan Audit Negara.

 

Selain itu, kata Laporan Ketua Audit Negara 2/2024, kos penyenggaraan Projek MCKIP 3 dari tahun 2019 hingga bulan September 2023 pula berjumlah RM28.39 juta.

 

"MCKIP 3 berkeluasan 1,786.20 ekar dengan kos keseluruhan berjumlah RM178.76 juta melibatkan 19 plot perindustrian. 

 

"Daripada jumlah tersebut, hanya satu plot perindustrian diisi manakala 18 plot perindustrian lagi masih kosong sejak tahun 2017," kata laporan berkenaan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

 

ecerdc
Majlis Pembangunan ECER (ECERDC).

 

Menurut laporan itu, KBP Fasa 1 hingga 3 pula mempunyai 10 plot perindustrian, namun daripada jumlah tersebut, hanya empat plot perindustrian telah diisi manakala enam plot perindustrian masih kosong sejak tahun 2022.

 

TBIFB Fasa 1A dan Fasa 1B pula menyaksikan 14 plot Perindustrian disediakan bagi kedua-dua fasa tersebut. 

 

"Bagaimanapun, hanya satu plot perindustrian kini diisi dan 13 plot perindustrian masih kosong semenjak diserahkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada tahun 2017," kata Laporan Ketua Audit Negara 2/2024.- DagangNews.com