Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Jan - Hap Seng Consolidated Bhd merancang untuk membangunkan lima buah hotel dalam beberapa tahun akan datang melalui anak syarikat milik penuhnya Hap Seng Land Sdn Bhd.
Ketua Pegawai Operasi Hap Seng Land, David Khor berkata, tiga daripada hotel berkenaan akan dibangunkan di Kuala Lumpur termasuk di Jalan Kia Peng, KL Metropolis berhampiran pinggir bandar Segambut di mana terletaknya Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), dan bangunan Wisma KFC yang baru dibeli di Jalan Sultan Ismail.
Manakala dua lagi akan dibangunkan di Sabah.
“Hotel tersebut akan diuruskan oleh dua syarikat hotel antarabangsa iaitu Hyatt yang akan mengendalikan empat hotel kami dan satu oleh Marriott.
"Ini adalah usaha pertama kami dalam pembangunan hospitaliti," kata Khor kepada pemberita selepas menerima anugerah daripada Malaysia Book of Records untuk dinding hijau menegak dalaman tertinggi di Menara Hap Seng 3.
Dinding hijau dalaman setinggi 91.55 meter, yang merentang secara menegak merentasi semua 20 tingkat ruang pejabat telah direka oleh arkitek bertaraf dunia Skidmore, Owings dan Merrill yang beribu pejabat di Chicago.
Dinding itu menempatkan 10 spesies tumbuhan di lebih daripada 27,000 pasu.
Selain hotel, Khor berkata, kumpulan itu juga menyasarkan untuk membina tiga projek kediaman tahun ini.
Syarikat itu akan melancarkan projek perumahan di Lahad Datu, Sabah pada Jumaat ini, manakala dua lagi di Semenanjung Malaysia.
"Kami masih memuktamadkannya (GDV), tetapi memandangkan pasaran telah perlahan-lahan kembali pulih, kami akan melakukan yang terbaik," katanya. -DagangNews.com