Harga ASP semakin merosot, Kenanga Research semak turun sektor sarung tangan getah kepada 'neutral' | DagangNews Skip to main content

Harga ASP semakin merosot, Kenanga Research semak turun sektor sarung tangan getah kepada 'neutral'

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 Dis - Kenanga Research menyemak turun penarafan sektor sarung tangan getah kepada 'neutral' daripada 'overweight' berikutan kemerosotan harga jualan purata (ASP).

 

Penganalisisnya, Raymond Choo Ping Khoon berkata, laporan kewangan dalam kalangan syarikat pengeluar sarung tangan getah baru-baru ini menunjukkan ASP dijangka lebih rendah sekitar 3 hingga 5% bulan ke bulan. 

 

Katanya, ini disebabkan pembeli mengambil sikap menunggu sehingga ASP kembali stabil bagi mengelakkan harga inventori yang lebih tinggi dan kebimbangan terhadap kemasukan daripada pengeluaran kapasiti baharu. 

 

"Kami tidak dapat menentukan sejauh mana ASP akan terus jatuh, tetapi pengeluar sarung tangan getah berpendapat ASP tidak mungkin jatuh di bawah paras sebelum pandemik COVID-19. 

 

"Keadaan ini mengambil kira kos struktur yang semakin meningkat termasuk kos pematuhan sosial dan kos bahan mentah nitril berbanding era sebelum tercetusnya wabak ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Laporan kewangan terkini Top Glove Corp. Bhd. bagi suku pertama berakhir 30 November 2021 menunjukkan margin pengeluar sarung tangan gerah, ASP dan pendapatan akan kembali normal ke paras sebelum pandemik dengan lebih cepat berbanding jangkaan yang akan terus memberi kesan sehingga separuh pertama 2022.

 

Susulan prestasi sektor yang kurang memuaskan, firma itu turut menyemak semula pendapatan, penarafan saham dan harga sasaran (TP) bagi syarikat pengeluar sarung tangan getah di bawah liputannya. 

 

Menurut Phing Khoon, ia telah mengurangkan pendapatan Top Glove dan Supermax Holdings Bhd. baru-baru ini dan menyemak semula ASP dan anggaran margin bagi Kossan Rubber Industries Bhd. dan Hartalega Holdings Bhd. berikutan normalisasi pendapatan yang lebih cepat daripada jangkaan. 

 

Bagi Hartalega, untung bersih bagi tahun kewangan 2023 (FY23) disemak rendah sebanyak 38% kerana anggaran ASP dikurangkan kepada AS$27 daripada AS$28 per 1,000 keping manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dikurangkan kepada 23% daripada 31% sebelum itu. 

 

"Kami turut menyemak turun TP kepada RM7.50 daripada RM8.70 sebelum ini berdasarkan 17x pendapatan sesaham (EPS) 2022 dengan saranan 'outperform'," katanya. 

 

Kossan pula diberi penarafan 'market perform' dengan untung bersih FY22 disemak lebih rendah sebanyak 32% kerana anggaran ASP dikurangkan kepada AS$27 daripada AS$28 dan anggaran margin EBITDA dikurangkan kepada 20% daripada 25%. TP juga disemak turun kepada RM1.80 daripada RM2.45 sebelum ini berdasarkan 13x EPS FY22.

 

Sementara itu, TP Top Glove pula berdasarkan 18x EPS 2022 dengan saranan 'market perform'. Penyenaraian Hong Kong dijangka selesai pada akhir suku pertama 2022 dan kecairan EPS dianggarkan pada 9%, sekali gus boleh merendahkan lagi unjuran TP. 

 

Bagi Supermax, pendapatannya bergantung kepada sejauh mana kesan daripada perintah tahan pelepasan (WRO) oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) ke atas syarikat dan langkah yang diambil bagi menggantikan kerugian jualan dalam pasaran di negara itu. Setakat ini, Supermax diberi penarafan 'market perform' dengan TP RM1.45. 

 

Setakat 9.27 pagi, saham Top Glove menokok 6 sen atau 2.74% kepada RM2.25 manakala Supermax naik 3 sen atau 2.11% kepada RM1.45 diikuti Kossan naik 4 sen atau 2.25% kepada RM1.82 dan Hartalega naik 3 sen atau 0.54% kepada RM5.56- DagangNews.com