Harga bahan mentah stabil, PublicInvest jangka margin keuntungan Kossan bertambah baik | DagangNews Skip to main content

Harga bahan mentah stabil, PublicInvest jangka margin keuntungan Kossan bertambah baik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Dis - Public Investment Bank Research (PublicInvest) menjangkakan margin keuntungan Kossan Rubber Industries Berhad bertambah baik didorong harga bahan mentah stabil.

 

Kumpulan itu juga telah mengurangkan bilangan pekerja sebanyak 33% kepada 4,000 daripada jumlah tenaga kerja sebanyak 6,000 pada FY22.

 

Bagaimanapun, kos gas asli dijangka meningkat lebih tinggi pada suku pertama tahun hadapan disebabkan oleh kesan selang masa, tetapi ia dijangka kembali normal dalam separuh kedua tahun hadapan.

 

"Kami positif terhadap inisiatif strategik ini kerana ia dijangka menyumbang kepada peningkatan dalam margin operasi Kossan pada masa hadapan.

 

"Margin operasi untuk pada 3QFY23 pada 12.18%, telah kembali hampir kepada paras pra pandemik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, purata harga jualan (ASP) kumpulan itu adalah AS$16 bagi 1,000 keping sarung tangan.

 

Katanya, pihak pengurusan tidak menjangkakan kenaikan yang ketara dalam ASP terutamanya disebabkan oleh persaingan harga yang sengit daripada pengeluar sarung tangan China yang menjual pada AS$2 bagi 1,000 keping lebih murah daripada pengeluar Malaysia.

 

"Kami mendapati bahawa jurang harga antara pengeluar Malaysia dan China telah mengecil daripada AS$4 bagi 1,000 keping kepada antara AS$2 hingga AS$3 bagi setiap 1,00 keping disebabkan kenaikan harga arang batu di China," katanya.

 

Sementara itu, kumpulan itu telah menutup dua kilang pada FY22 dan untuk itu, sejumlah RM35 juta akan dihapus kira pada FY23.

 

"Kumpulan tidak mempunyai rancangan untuk mentup kilang pada masa hadapan, sebaliknya, Kossan bersedia untuk melabur dalam sistem automasi dengan kos jangkaan melebihi RM100 juta pada FY24," katanya.

 

PublicInvest mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.38 sesaham.- DagangNews.com