Harga barangan, perkhidmatan dijangka naik berperingkat 1H 2024 akibat perubahan cukai, tarif utiliti - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Harga barangan, perkhidmatan dijangka naik berperingkat 1H 2024 akibat perubahan cukai, tarif utiliti - MIDF Research

Ekonomi Malaysia dijangka bertumbuh 4.7% tahun ini namun MIDF Research memerhatikan dengan teliti kesan perubahan dasar kerajaan kepada harga barangan./Gambar hiasan Kelvin Zyteng
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 1 Mac - Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan keseluruhan secara beransur-ansur dijangka berlaku pada separuh pertama 2024 (1HCY24) antaranya disebabkan kenaikan tarif utiliti seperti air dan elektrik di samping perubahan kepada dasar percukaian negara.

 

MIDF Research berkata, ini melibatkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dinaikkan pada kadar lebih tinggi kepada 8.0% kecuali untuk makanan & minuman dan telekomunikasi bermula hari ini di samping pelaksanaan 10% cukai barang bernilai rendah (LVGT).

 

"Pada separuh kedua 2024 pula, kami berpendapat bahawa kemungkinan pelancaran subsidi bersasar bahan api yang mungkin menyaksikan harga runcit bahan api yang lebih tinggi," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kata MIDF Research, inflasi sebelum ini secara berterusan mereda antara lain disebabkan normalisasi dalam harga komoditi global dan dasar fiskal yang menyokong hal ini dengan inflasi teras juga menyederhana kepada 1.8% (YoY).

 

Justeru, firma penyelidikan itu percaya kadar inflasi yang rendah ini akan mendorong Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) sepanjang tahun ini.

 

Pada masa sama, MIDF Research berkata, dalam mengunjurkan pertumbuhan, pihaknya memantau dengan teliti perkembangan semasa dengan peringkat domestik adalah mengenai kesan perubahan dasar kerajaan terhadap prospek harga domestik.

 

Kata firma penyelidikan itu, jika ini  berlaku akan menjejaskan kuasa beli pengguna dan kos menjalankan perniagaan serta keseluruhan aktiviti perbelanjaan domestik.

 

Bagi pertumbuhan keseluruhan, firma penyelidikan itu kekal menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang lebih kukuh kepada 4.7% pada 2024 berbanding 3.7% tahun lalu.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Cukai jualan dan perkhidmatan SST naik 8% berkuat kuasa 1 Mac 2024

 

Katanya, peningkatan dalam pertumbuhan akan disokong oleh pemulihan perdagangan luar, di samping pertumbuhan yang mampan dalam perbelanjaan domestik. 

 

"Walau bagaimanapun, kami memantau dengan berhati-hati potensi risiko penurunan, seperti peningkatan ketegangan geopolitik, satu lagi pusingan gangguan bekalan (dan perdagangan global), turun naik dalam pasaran komoditi dan kewangan, dan kemungkinan kemelesetan ekonomi di AS, yang boleh memberi kesan buruk permintaan luaran dan prospek pertumbuhan keseluruhan. 

 

"Di peringkat domestik, kami memantau dengan teliti kesan perubahan dasar kerajaan terhadap prospek harga domestik, yang akan menjejaskan kuasa beli pengguna dan kos menjalankan perniagaan serta keseluruhan aktiviti perbelanjaan domestik," katanya.

MIDF Research dalam laporan itu juga menjangkakan ​Ringgit masih berada di landasan untuk meningkat ke arah RM4.20 menjelang akhir tahun didorong pemotongan kadar faedah Amerika Syarikat.- DagangNews.com